Kuala Lumpur: Jika semuanya berjalan lancar, Pulau Pinang bakal menjadi pasukan keenam diwakili pemain import Francis Forkey Doe (gambar) yang berhasrat meneruskan karier bola sepaknya di negara ini.
Menurut sumber, rundingan antara kedua-dua belah pihak sudah dijalankan dan kini hanya menunggu kata putus Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).
“Pada dasarnya Francis sudah bersetuju untuk menyertai pasukan itu. Malah, Pulau Pinang sendiri berminat untuk menggunakan khidmatnya cuma belum ada keputusan muktamad. Saya yakin jika tidak ada perubahan saat akhir, pemain itu akan mewakili pasukan berkenaan musim depan.
“Jika benar dia menyarung jersi Pulau Pinang, saya yakin dia dapat membawa perubahan. Apatah lagi jika khabar angin yang mengatakan Safee Sali akan menyertai pasukan ini juga benar, maka Pulau Pinang akan memiliki dua penyerang hebat,” kata sumber berkenaan.
Penyerang Liberia itu mula beraksi di negara ini bersama Terengganu pada 2012 sebelum berhijrah ke Selangor musim berikutnya. Pada 2014 dia bersama Kelantan sebelum menyertai Negeri Sembilan dan FELDA United.
Sepanjang lima musim beraksi di sini, Doe membuktikan kehebatannya sebagai peledak apabila menghasilkan 62 gol.
Sementara itu, Doe ketika dihubungi enggan mengesahkan spekulasi penyertaannya bersama Pulau Pinang sebaliknya berkata dia masih menunggu pengesahan daripada beberapa pasukan.
“Setakat ini apa yang boleh saya katakan ialah saya belum menyertai mana-mana pasukan. Belum ada jawapan daripada pasukan walaupun sudah ada rundingan.
“Saya masih menanti dan memang berharap akan ada pasukan membuat tawaran. Saya bersedia mewakili mana-mana pasukan asalkan bersesuaian.
“Saya ingin terus bermain di sini kerana sudah serasi dengan bola sepak Malaysia selepas lima musim di negara ini. Malah, setiap pasukan sudah mengetahui kemampuan saya,” ujar Doe.-mstar