Sukan Hari Ini

Dollah mahu lonjak kembali imej Pahang

PENGENDALI baharu Pahang, Dollah Salleh bertekad untuk menaikkan imej skuad Tok Gajah sebagai salah satu pasukan yang digeruni musim depan.

Dollah yang kembali ke pangkuan Pahang selepas kali terakhir membimbing pasukan itu pada 2013, mahu membuka lembaran baharu bersama pemain dan membina kembali kekuatan skuad Tok Gajah.

Musim 2016 menyaksikan tahun malap Pahang apabila bergelut untuk kekal dalam Liga Super.

Pahang sekadar menduduki tangga ke-10 Liga Super dan bernasib baik untuk tidak tersingkir ke Liga Perdana berikutan ‘ehsan’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghadiahkan tiga mata percuma pada minggu terakhir liga.

“Kita akan bermula dari kosong semula. Walaupun satu tugas berat buat saya, namun ini satu cabaran buat saya.

“Saya akan cuba sebaik mungkin mengubah nasib Pahang dengan kembali menjadikan salah satu pasukan yang digeruni,” katanya.

Bagaimanapun menurut Dollah, walaupun beliau bersedia menyahut cabaran membentuk semula sebuah skuad Pahang, dalam masa sama berpendapat, pengurusan tidak boleh mengharapkan keputusan segera.

“Kita sedia maklum Pahang bukan lagi pasukan digeruni, dan untuk kembali membentuk pasukan ini bukan mudah. Apa pun, saya akan cuba yang terbaik demi peminat dan pihak pengurusan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai undian Piala FA yang menyaksikan mereka akan bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di pusingan kedua, Dollah berkata, undian yang diterima itu adalah sesuatu yang baik untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ulasan atau mengumumkan sasaran bagi pertemuan itu.

“Fokus saya sekarang adalah mempersiapkan barisan pemain dan membina semula kekuatan pasukan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");