Isu Panas

Dr Mujahid ikut Rafizi isytihar harta

GEORGETOWN – Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya.

Menurut Mujahid, tindakannya itu bagi membuktikan ketelusannya kepada rakyat yang memilihnya sebagai ahli Parlimen.

Dalam pengisytiharan hartanya itu, Dr Mujahid menyatakan, pendapatan bulanannya berjumlah RM25,700.

Namun, beliau berkata, selepas ditolak beberapa potongan iaitu cukai bulanan (RM325), pinjaman Perumahan 1 Angkasa (RM1,218) dan sumbangan kepada parti (RM4,000), pendapatan bersihnya berjumlah RM20,156.

Mujahid yang juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang berkata, perbelanjaan tetap bulanannya berjumlah RM10,300 iaitu RM5,300 untuk pusat khidmatnya (sewa dan elaun dua pegawai) dan RM5,000 untuk program pusat khidmat.

“Selain perbelanjaan itu, saya turut mempunyai hutang iaitu ansuran bulanan kereta Honda Accord (RM2,246), pinjaman peribadi Bank Islam sebanyak RM60,000 selama dua tahun (RM2,656) dan kad kredit sebanyak RM1,500.

“Sementara itu, baki akaun peribadi terkini saya di Bank Islam berjumlah RM3,765 manakala di dua akaun Bank Muamalat (semasa) masing-masing berjumlah RM1,870 dan RM1,218. Jumlah baki tunai kesemuanya adalah RM6,854,” katanya.

Bekas pensyarah universiti itu berkata, jumlah keseluruhan nilai asetnya pada 2016 adalah RM423,000 merangkumi rumah (RM291,000), kereta Honda Accord VTI-L (A) 2.4L (RM110,000) dan kereta Proton Saga (RM22,000).

“Rumah teres dua tingkat di Taman Kerian Permai, Parit Buntar yang dibeli pada 2009 dengan harga RM208,000 kini bernilai RM291,000. Sementara itu, kereta Honda Accord yang dibeli pada 2013 mengalami susut nilai dan kini bernilai RM175,876 manakala Proton Saga yang dibeli secara tunai pada 2015, kini dinilai dengan harga RM34,000.

“Saya juga dilantik menjadi Pengarah Syarikat Usaha Tarbiyah Sdn Bhd, Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang namun ketiga-tiga jawatan itu tiada elaun bulanan kecuali kehadiran mesyuarat,” katanya.

Dr Mujahid berkata, sebelum ini, beliau pernah mengusahakan sebuah syarikat penerbitan bersama keluarganya namun syarikat itu sudah tidak beroperasi.

Menurutnya, semua ahli Parlimen perlu melakukan perkara sama khususnya di kalangan Pakatan Harapan agar membuktikan ketelusan kepada rakyat.

“Saya membuat pengisytiharan ini bagi menunjukkan tanggungjawab saya sebagai ahli Parlimen. Saya suka jika selepas saya, akan ada ramai lagi ahli Parlimen dan wakil rakyat lain membuat perkara sama khususnya di kalangan Pakatan Harapan.

“Ini bagi mengelakkan persoalan di kalangan rakyat. Saya sokong dengan tindakan Rafizi yang menjadi wakil rakyat pertama mengisytiharkan hartanya kepada umum,” katanya.

Sementara itu, Parti Amanah berminat untuk bertanding di kerusi Permatang Pasir pada pilihan raya umum akan datang.

Mujahid berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerusi di kawasan Dun berkenaan kini disandang Datuk Salleh Man Mat Aji dari parti Pas.

Menurutnya, walaupun hubungan persahabatan di antaranya dengan Salleh Man agak rapat, namun mereka tetap terikat dengan polisi parti.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");