Sukan Hari Ini

‘Eksperimen Zahasmi’

KETUA Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail bakal menggabungkan muka baharu dan lama bagi membentuk pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Zahasmi berkata, adunan tersebut difikirkan sesuai apatah lagi The Red Warriors sendiri dijangka beraksi tanpa pemain bertaraf bintang bagi menggalas cabaran pasukan itu, pada musim depan.

“Kita memiliki ramai pemain muda berbakat yang berjaya membantu Kelantan menjuarai Piala Presiden musim lalu dan ini membuktikan mereka memiliki kebolehan untuk mewarisi kekosongan ditinggalkan pemain lama.

“Mungkin tidak semua pemain baru itu akan digunakan kerana kita juga perlu utamakan keseimbangan pasukan, namun saya yakin gandingan (muka lama dan baharu) itu boleh membentuk pasukan terbaik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Skuad pantai timur itu, memulakan latihan pra-musim pertama semalam dengan kehadiran pemain import musim lalu, Morgaro Gomis, selain tiga muka baharu skuad Piala Presiden iaitu Mohd Syafiq Abd Rahman, Mohd Nasharizam Abd Rashid dan Mohd Azwan Aripin.

Pada masa sama, tegas pengendali berusia 49 tahun itu lagi, penyertaan pemain pelapis memberi isyarat kepada tonggak senior agar kembali meningkatkan prestasi mereka atau bersedia berdepan kemungkinan menjadi pemerhati di luar padang.

“Kita akan beri ruang kepada pemain muda dan ini jelas satu cabaran kepada pemain senior untuk bekerja lebih keras jika mahu terus kekal dalam kesebelasan utama.

“Saya berpandukan pada latihan, sekiranya pemain muda menunjukkan sikap positif dan sentiasa berjuang (merebut tempat), apa salahnya kita guna mereka. Bagi saya sama sahaja, siapa yang bagus dalam latihan, pemain itu akan berada dalam barisan terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai kuota tiga lagi pemain import yang belum diisi, bekas jurulatih kelab bola sepak Kementerian Kewangan (MOF) FC musim lalu itu memberitahu, perkara tersebut akan dibincangkan dengan pihak pengurusan dalam masa terdekat.

Menurutnya, apa yang lebih penting sekarang adalah melengkapkan senarai pemain tempatan memandangkan pasukannya masih bergelut untuk mengisi kekosongan ditinggalkan sembilan pemain yang berhijrah ke pasukan lain, pada musim depan.

“Memang kita dalam proses mencari pemain import tetapi kita tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara ini. Kita perlu selesaikan masalah pemain tempatan terlebih dahulu, kemudian baru kita fikir soal pemain import,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");