Membawang Hari Ini

Filem kolaborasi termahal

Biarpun filem The Great Wall mencetuskan kontroversi besar kerana mengetengahkan pelakon bukan dari Asia sebagai watak utama, karya arahan Zhang Yimou itu berjaya mencapai jualan tiket pecah panggung mencecah RM301.9 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di China.

Jumaat lalu, penduduk di China menjadi penonton pertama menyaksikan filem yang dibintangi Matt Damon, Andy Lau, Jing Tian, Pedro Pascal dan Willem Dafoe ini.

Berikutan lakonannya dalam The Great Wall menerima kritikan hebat pengguna Internet di Barat, Damon tampil mempertahankan filem itu dan mengatakan wataknya sebagai pegawai tentera William Garin sememangnya dicipta untuk pelakon bukan Asia.

“Isu ini hampir sama dengan pelakon Kaukasia memakai solekan untuk kelihatan seperti bangsa lain. Kaedah ini sering digunakan pada awal kemunculan filem serta televisyen dan pada ketika itu, isu perkauman lebih serius,” katanya kepada The Associated Press ketika di Beijing, baru-baru ini.

Pelakon berusia 46 tahun itu turut mengatakan dia memandang berat isu menggantikan watak asal dengan pelakon berkulit putih.

“Terdapat beberapa karya menampilkan isu sedemikian contohnya Chuck Connors membawa watak utama sebagai ketua puak Apache dalam filem Geronimo,” katanya.

Bintang siri filem Jason Bourne ini percaya kontroversi filem itu tercetus berikutan kewujudan berita palsu di Internet yang bertujuan menarik pembaca melawat laman web itu.

“Maklumat palsu ini secara tiba-tiba menjadi bahan berita. Ini berbeza dengan kaedah berita tradisional yang terlebih dahulu memerlukan pengesahan.

“Ada orang mudah mempercayai tajuk yang tidak masuk akal namun mendapati sebenarnya tiada berita gempak apabila mereka membuka laman web itu,” katanya.

Menurut Damon, dia menjangka kontroversi mengenai wataknya akan berkurangan selepas penonton menyaksikan The Great Wall yang mengetengahkan serangan raksasa ke atas China.

“Kontroversi itu mungkin kurang apabila penonton menyedari filem itu sebenarnya fantasi bersejarah dan saya tidak ‘merampas’ watak dipegang daripada pelakon Cina. Watak itu tidak pernah diubah dan memang dicipta untuk saya,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pembikinan The Great Wall, Zhang berkata, skrip filem itu mengambil tempoh selama tujuh tahun untuk dikembangkan.

“Walaupun filem ini dicipta untuk tujuan komersial, saya berpeluang menyelitkan banyak elemen budaya masyarakat Cina di dalamnya,” katanya.

Menurut Zhang, filem itu juga sebagai iklan melancong kerana akan menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia ke China untuk melawat Tembok Besar.

“Generasi muda masyarakat Cina boleh melawat China untuk menikmati budaya serta tamadun dibina nenek moyang negara itu.

“Oleh itu, kerjasama China dan Hollywood dalam menghasilkan karya hebat akan berterusan, pada masa sama mengukuhkan hubungan di antara dua negara,” katanya.

The Great Wall adalah karya terbitan bersama produksi China dan Hollywood yang paling mahal kerana menelan perbelanjaan mencecah RM671.92 juta.

Filem ini mengisahkan kemunculan sekumpulan raksaka digelar Taotie pada setiap 60 tahun dan tentera Imperial perlu mempertahankan China daripada dimusnahkan makhluk itu.

Keputusan Legendary Studios mengangkat China lokasi pertama menayangkan The Great Wall berikutan filem itu berkisarkan Tembok Besar negara itu.

Selain itu, China dianggap kutipan ‘box office’ kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat berikutan permintaan tinggi terhadap filem luar.

The Great Wall akan ditayangkan di negara ini mulai 29 Disember ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");