Berita Hari Ini

Flora World diiktiraf Buku Rekod Malaysia

SERDANG – Flora World yang terdapat di Laman Florikultur bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) berjaya mendapat pengiktirafan Buku Rekod Malaysia (Malaysia Book of Record) sebagai Taman Landskap Terpanjang yang menggunakan barangan kitar semula.

Laman yang dibina Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu dihiasi limpahan bunga-bungaan berwarna-warni, selain dihiasi pelbagai rekaan topiari menarik berkonsepkan flora dan fauna, replika bunga limpah serta replika dinosaur yang digunakan menggunakan botol terpakai.

Arca yang dibina sepanjang 106 meter itu menggunakan bahan terpakai turut dihiasi bunga-bungaan dan tanaman herba.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau kagum dengan pencapaian direkodkan Flora World, selain usaha dilakukan syarikat animasi siri kartun popular Upin dan Ipin dalam memberi pendidikan berkaitan pertanian kepada kanak-kanak.

Beliau menggalakkan orang ramai berkunjung ke MAHA 2016 untuk mempelajari pelbagai perkara berkaitan bidang pertanian.

“Diharapkan lebih ramai datang dan memanfaatkan kunjungan ke MAHA 2016, bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk dikomersialkan,” katanya ketika merasmikan Flora World, semalam.

Menurut Nancy, beliau juga membawa hampir 100 orang dari kawasan parlimennya (Batang Sadong) untuk memperoleh ilmu dan pendedahan berkaitan pertanian di ekspo berkenaan.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Nancy turut menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Jabatan Pertanian dan Les Copaque bertemakan Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin.

Kampung Durian Runtuh mempersembahkan pengenalan berkaitan pertanian dan memperkenalkan konsep ‘edible garden’ .

Intipati Kampung Durian Runtuh tersebut digabungkan dengan teknologi terkini animasi yang menggunakan pelbagai teknik bagi memastikan olahan informasi tentang pertanian kepada kanak-kanak.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");