SERDANG – Garis panduan pembinaan vesel perikanan moden akan diperkenal bermula Januari tahun hadapan dalam usaha memacu industri perikanan laut dalam bagi mencapai piawaian antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Jabatan Laut dibawah kementeriannya telah bekerjasama dengan Jabatan Perikanan bagi pengenalan garis panduan tersebut untuk meningkatkan keupayaan vesel nelayan tempatan bagi memastikan ianya memenuhi standard keperluan syarat negara pengimport.
“Garis panduan tersebut akan disediakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya kepada media selepas pelancaran garis panduan berkenaan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2016, semalam.
Tiong Lai berkata, kualiti vesel yang digunakan nelayan tempatan ketika ini menjadi antara sebab hasil laut negara tidak dapat diekport ke negara seperti Jepun dan Kesatuan Eropah.
“Selain itu keadaan kebersihan tandas di vesel dan jenis kiub ais yang digunakan menjadi antara penghalang hasil laut negara kita tidak dapat dieksport ke beberapa negara tertentu,” katanya.
Oleh itu, katanya melalui usaha pemodenan vesel penangkapan ikan berkenaan, garis panduan tersebut akan merangkumi 12 standard yang selaras dengan kod Persatuan Maritim Antarabangsa dan Konvensyen Antarabangsa serta International Association of Classification Societies.
Katanya, pembangunan vesel tersebut akan melibatkan pelaburan pihak swasta, penyertaan koperasi dan pengenalan satu dana khas berbentuk dana pusingan yang akan dikendalikan oleh Agrobank, SME Bank dan sebagainya.
Tambahnya semua vesel penangkapan ikan juga perlu mendapatkan Sijil Layak Layar yang merupakan syarat minimum daripada pertubuhan perkapalan yang diiktiraf kementeriannya.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, Jabatan Perikanan menjangka dapat membangunkan industri perikanan tangkapan yang lebih moden yang memenuhi 12 standard bagi ciri-ciri keselamatan serta keselesaan pekerja.
“Kami menganggarkan menjelang 2050, kesemua kira-kira 3,000 bot pukat jerut dan pukat tunda Zon C dan ke atas akan dibina mengikut Garis Panduan Pembinaan Vesel Penangkapan Ikan dengan kos sekitar RM1 juta ke RM3 juta bagi sebuah kapal,” katanya. – Bernama
-Sinar Harian