Sukan Hari Ini

Gelora Garuda

Menjelang Piala AFF 2016, berlaku situasi unik apabila jurulatih Indonesia, Alfred Riedl hanya dibenarkan memilih dua pemain dari kelab terbabit dalam Liga Super Indonesia. Perkara sebegini berlaku kerana badan induk bola sepak di Indonesia dikenakan tindakan kerana mengganggu perjalanan liga.

Mengikut sejarah, kekuatan pasukan boleh ditentukan dengan memilih pasukan kebangsaan berdasarkan kejayaan sesebuah kelab. Dengan menggunakan pemain dari kelab berjaya, ia akan memberi struktur kuat buat pasukan kebangsaan.

Di zaman silam, Piala Dunia 1974 mempertemukan kelab gergasi Ajax Amsterdam dan Bayern Munich. Perlawanan akhir di antara Belanda dan Jerman Barat menyaksikan pemain kelab berkenaan diturunkan. Kedua-dua negara ini membentuk skuad dengan berdasarkan kejayaan kelab dalam liga masing masing.

Bayern Munich menyumbang pemain seperti Sepp Maier, Paul Breitner, Hans-Georg Schwarzenbeck, Uli Hoeness, Gerd Muller serta ketua pasukan Franz Beckenbauer. Borussia Monchengladbach pula menyajikan Berti Vogts, Jupp Heynckes dan Rainer Bonhof. Gandingan pemain kedua-dua kelab itu membolehkan Jerman Barat muncul juara dunia.

Ajax Amsterdam pula menyumbang Arie Haan, Johan Neeskens, Johnny Rep, Wim Suurbier serta Ruud Krol. Feyenoord pula diwakili tiga pemain, Willem van Hanegem, Wim Jansen serta Wim Rijsbergen.

Jelas kedua-dua negara ini menitikberatkan khidmat serta keserasian pemain dari kelab tertentu.

Itali pula mengikut jejak Piala Dunia 1982 dengan Juventus menyumbang pemain utama seperti Dino Zoff, Antonio Cabrini, Claudio Gentile, Gaetano Scirea, Marco Tardelli serta Paolo Rossi. Keenam-enam pemain ini menjulang Piala Dunia 1982 dan terbukti kekuatan sesebuah kelab boleh menjadi tulang belakang pasukan negara.

Pada 2010, Sepanyol pula membawa corak permainan mengagumkan. Corak permainan yang diperkenal dan diasuh kelab Barcelona. Dan pada hari Sepanyol menjulang Piala Dunia 2010, tidak menghairankan Barcelona mempunyai enam pemain, Gerard Pique, Carles Puyol, Andres Iniesta, Xavi, Pedro serta Sergio Busquets.

Apa jua kesimpulan dibuat, juara dunia terkini, Jerman turut menambah keyakinan terhadap trend ini dengan menurunkan enam pemain Bayern Munich apabila mereka menjadi juara dunia 2014. Kita masih ingat kelibat Manuel Neuer sebagai penjaga gol, Philip Lahm sebagai ketua pasukan serta Jerome Boateng, Bastian Schweinsteiger, Toni Kroos dan Thomas Muller.

Apapun, Indonesia sudah melayakkan diri ke final Piala AFF 2016 dengan corak pemilihan yang ditentukan keadaan semasa. Tapi tidak sekali gus mengancam corak taktikal yang diterapkan jurulatih Alfred Riedl.

Dalam final dilangsungkan secara timbal balik, Indonesia akan berdepan juara bertahan Thailand yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Kekuatan Thailand pula dibina dengan asas Muangthong United yang diwakili tujuh pemain di separuh akhir kedua. Kejayaan menewaskan Myanmar dibantu khidmat penjaga gol Kawin Thamsatchanan serta rakan sekelab, Theerathon Bunmathan, Adison Promrak, Sarach Yooyen, Teerasil Dangda, Chanathip Songkrasin dan Tristan Do.

Sejarah sudah membuktikan kejayaan dicapai dengan menggunakan barisan pemain dari satu kelab tapi kini Indonesia bukan saja akan menghadapi sejarah tapi juga ingin membalut luka. Indonesia empat kali tewas perlawanan akhir pada 2000, 2002, 2004 dan 2010.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");