PENYANYI pop terkenal di era 1980an- 1990an Georgios Kyriacos Panayiotou atau lebih dikenal dengan nama George Michael, dilaporkan meninggal dunia pada usia 53 semalam, di kediamannya Oxfordshire.
Memetik laporan BBC News, jurucakap polis Thames Valley berkata, pihaknya masih mengenalpasti punca kematian Michael,tetapi ujarnya lagi tidak ada keadaan yang mencurigakan.
“Bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat. Tidak akan ada maklumat selanjutnya daripada kami, sehinggalah bedah siasat selesai,” katanya.
Sementara itu, keluarga mendiang berharap orang ramai dan para peminat memberi ruang privasi buat mereka sekeluarga yang kini berhadapan dengan perasaan duka.
“Ia kesedihan yang mengesankan, kami mengesahkan anak kesayangan kami, Michael telah meninggal dunia di rumah sepanjang tempoh Krismas.
“Keluarga kami meminta privasi kami dihormati pada masa sukar dan penuh emosi ini. Tiada komen lagi pada peringkat ini,” jelas satu kenyataan daripada keluarga mendiang.
Untuk rekod album jualan Micahel telah terjual lebih daripada 100 juta di seluruh negara .Album debut solonya pada tahun 1987, Faith, pula telah terjual lebih daripada 20 juta ke seluruh dunia.
Pada tahun 2008, majalah Billboard menempatkan Michael dalam senarai 40 daripada 100 Artis Terbaik Sepanjang Zaman.
-Sinar Harian