Perak Hari Ini

Giat Tarik Minat Golongan Muda dan Wanita Ceburi Bidang Pertanian

IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak sedang giat untuk menarik lebih ramai golongan muda dan wanita untuk menceburi bidang pertanian.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, usaha berkenaan dapat direalisasikan dengan kewujudan dan bantuan kumpulan peladang muda dan peladang nita di negeri ini.

Ujarnya, buat pertama kalinya pada tahun 2016 ini, peladang muda dan peladang nita dilibatkan dalam ahli jemaah untuk memastikan mereka menjadi sayap kiri serta kanan kepada PPN.

“Selesai pemilihan yang berakhir pada November baru-baru ini, PPN telah mengumpulkan mereka untuk diberi taklimat supaya mereka ini sebagai sayap kiri dan kanan dapat bersama-sama dengan PPN menggerakkan peladang nita dan peladang muda dengan lebih hebat pada tahun-tahun mendatang.

“Tumpuan kita adalah bagaimana untuk melahirkan lebih ramai usahawan nita dan juga usahawan muda dalam bidang pertanian terutamanya dalam bidang agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri perjumpaan bersama Ketua Peladang Muda, Ketua Peladang Nita, Ahli Jemaah Pengarah Peladang Nita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini, hari ini.

Nadzri berkata, setiap ketua yang dilantik juga perlu mendapatkan maklumat ahli peladang muda dan peladang nita serta mengenalpasti bidang-bidang yang diceburi oleh ahli-ahli mereka pada masa ini.

“Sekiranya mereka belum (ada perniagaan), apakah cara untuk menggalakkan mereka untuk menceburi bidang usahawan pertanian… Kalau mereka sudah ada bagaimana (cara) kita nak (bantu) besarkan perniagaan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dalam usaha untuk menyelesaikan beberapa isu termasuklah untuk menyiapkan pembinaan Wisma Peladang yang terletak di Greentown di sini dan juga kilang kelapa sawit di Beruas.

“Pembinaan bangunan Wisma Peladang itu agak lewat yang mana sudah memakan masa lima enam tahun. Jadi kita jangkakan dalam masa tiga bulan untuk diselesaikan kerana apabila ianya siap nanti, ia mampu menjadi mercu tanda pejabat PPN.

“Selain itu, kita juga ingin mempercepatkan pembinaan kilang kelapa sawit di Beruas yang menelan belanja sebanyak RM45 juta yang mana sekarang ini ia berada pada tahap 50 peratus.

“Kita jangkakan ia akan siap pada Oktober 2017 dan ia dilihat akan menjana pendapatan yang lebih kepada PPN Perak,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");