Perak Hari Ini

Gred Padi: Pesawah Titi Serong Luah Rasa Kecewa

PARIT BUNTAR : Golongan pesawah di Titi Serong, di sini meluahkan rasa kecewa apabila Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) melakukan pemotongan gred padi yang sangat tinggi.

Jadual pemotongan kualiti padi oleh BERNAS
Ahmad Mahyaruddin Baihakhi

Wakil pesawah, Ahmad Mahyaruddin Baihakhi, 34, berkata, ramai pesawah terbeban akibat pemotongan yang tinggi tersebut ditambah lagi dengan kos sara hidup kian meningkat.

“Jika dibandingkan dengan musim (penanaman padi) sebelum ini dengan sekarang, pemotongan gred sangat ketara. Dahulu sekitar 18 peratus hingga 20 peratus sahaja, tetapi sekarang terlalu tinggi hingga ada yang sampai 55 peratus.

“Betul harga padi sekarang naik, tetapi dengan pemotongan itu, sama sahaja dengan sebelum ini dengan pemotongan gred padi yang tinggi,”katanya ketika ditemui wartawan Perak Today, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, BERNAS perlu memainkan peranan besar serta tidak seharusnya bersikap lepas tangan.

Ahmad Mahyaruddin turut meminta agar pihak BERNAS dapat menggunakan pemotongan gred padi seperti sebelum ini.

“Kalau potongan gred terlalu tinggi, berapa yang kami dapat setelah menolak kos benih, baja, membajak, racun, sewa dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata, golongan pesawah juga tidak diberi penerangan yang jelas tentang penggunaan meter ujian kelembapan (moisture meter) yang baru sahaja diperkenalkan.

Meter ujian kelembapan (moisture meter)

“Kami tidak berpuas hati dengan pengenalan wab basah. Kami minta diberi penerangan tentang penggunaan mesin tersebut sebaliknya hanya diberitahu ianya digunakan untuk gred padi,”katanya.

Abdul Jalil Ismail

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Abdul Jalil Ismail, 48 berkata, pengenalan meter ujian kelembapan itu menyebabkan potongan gred padi semakin tinggi.

“Disebabkan penggunaan wab basah itu, potongan gred lebih tinggi. Masalah padi itu memang ada, tidak dapat dinafikan, tetapi ianya tidaklah setinggi itu.

“Apabila ini berlaku, ia membebankan golongan pesawah yang tidak mempunyai pekerjaan lain sebaliknya hanya mengharapkan sumber pendapatan dari sawah semata-mata.

“Jadi kami harap, pihak yang berkaitan termasuk pihak kementerian dapat mencari satu inisiatif bagi membantu kami,”ujarnya.

Terdahulu, isu pemotongan gred padi ini turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut menggesa agar BERNAS melakukan pemotongan dan pemutuan padi pada kadar tidak melebihi 25 peratus.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");