Membawang Hari Ini

GV3 landasan kemunculan semula Intan Sarafina

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Intan Sarafina, 35, pernah dirundung duka pada awal penyertaan dalam pertandingan Gegar Vaganza Tiga (GV3) apabila ramai tidak yakin beliau mampu bersaing dengan 11 peserta lain.

Kata pemilik nama sebenar Ungku Intan Sarafina Yahya itu, semangat juang selain sokongan keluarga antara pemangkin untuk kekal sepanjang tujuh minggu cabaran hingga layak mara sebagai finalis seterusnya merangkul tempat ke lima, Ahad lalu.

“Awal dulu saya agak sedih tetapi sampai satu tahap saya cekalkan hati. Apabila nekad menyertai GV3, bermakna tiada halangan yang mampu memadamkan semangat itu.

“Saya melihat komen pemerhati dari sudut positif malah cabaran sebegini menguatkan azam untuk membuktikan kemunculan semula saya di arena seni bukan cakap kosong.

“Sebelum ini, lapan tahun saya memilih untuk menguruskan keluarga. Sebaik meraih peluang dalam pertandingan ini, saya yakin ia landasan terbaik untuk kemunculan semula saya,” katanya kepada BH Online.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui, hasil usahanya jelas menampakkan perkembangan, baik dari segi vokal mahu pun persembahan setiap minggu hingga peminat Singapura dan Brunei mula memberikan tumpuan.

“Saya enggan ambil pusing dengan komen berbaur negatif. Pada masa sama, saya bersyukur kerana mendapat sokongan peminat setia serta penyokong dari negara jiran yang terus memberikan dorongan,” katanya yang mempertaruhkan lagu Anuar Zain dan Ziana Zain di pentas akhir GV3.

Bercerita mengenai persembahan pada malam berkenaan, Intan berkata, cabaran mendendangkan lagu pasangan adik beradik Anuar dan Ziana itu sangat besar yang disifatkan bukan tanggungjawab mudah.

“Saya memberikan 100 peratus tumpuan ketika membawakan Sedetik Lebih serta Kemelut Di Muara Kasih. Namun saya akui peserta lain juga mempunyai strategi serta bersaing dengan sengit,” katanya.

Terkini, Intan memaklumkan laluannya di arena seni suara akan bertambah lancar selepas beliau secara rasmi menjadi artis naungan syarikat pengurusan LOL Entertainment.

Selain Intan, pertandingan akhir GV3 menyaksikan kemaraan Azharina sebagai juara disusuli Siti Sarah (naib juara), Zarul (ketiga), Ameng (keempat) manakala Gmie di tangga ke enam.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");