Sukan Hari Ini

Hafiz Kamal teruja sarung jersi Perak

BEKAS pemain Selangor, Hafiz Kamal teruja apabila diberi peluang beraksi bersama The Boss Gaurus dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, lamaran Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) adalah satu rahmat buat dirinya untuk berbakti di negeri kelahirannya itu.

“Ini adalah peluang dan cabaran terbaik yang telah lama saya tunggu. Bermain untuk pasukan negeri kita sendiri adalah satu impian.

“Cita-cita saya adalah untuk meraih sebarang gelaran bersama TBG dan saya harap Perak mampu menjulang Liga Super musim depan.

“Setiap pemain akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan saya bersedia untuk itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Presiden (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, semalam mengumumkan mengikat dua pemain Selangor Hafiz Kamal dan bekas kapten The Red Giants, Shahrom Kalam.

Selain kejayaan mendapatkan khidmat dua pemain Selangor itu Perak turut berjaya membuat tiga ‘tangkapan besar’ dalam usaha memperkuatkan pasukan.

Tiga lagi ialah Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin dari Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Idris Ahmad dari Felda United FC.

Shahrom Kalam ketika ditemui berkata, keputusan memilih haluan baru bersama Perak disebabkan pernah mempunyai pengalaman beraksi dengan pasukan itu sebelum ini.

“Saya ingin mencari pengalaman baru dan musim depan saya harapkan dapat beri sesuatu kepada Perak, sebelum ini saya pernah berbakti selama dua musim dengan TBG.

“Saya cuba lakukan yang terbaik untuk Perak dan saya berharap pasukan Perak akan menjadi antara pencabar yang digeruni dalam Liga Super,” katanya lagi.

Tambah pemain pertahanan itu, keputusan meninggalkan Selangor adalah detik sukar sepanjang karier beliau selaku pemain profesional.

“Dalam sesebuah pasukan, pemain akan datang dan pergi itu lumrah sebuah pasukan bola sepak dan demi masa depan kerjaya saya berhijrah.

“Memang ia sukar buat saya, namun saya perlu teruskan karier dan maju ke depan, selamat maju jaya untuk Selangor,” katanya lagi.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");