Berita Hari Ini

Halang balak: Jakoa tidak pernah beri persetujuan

GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak pernah memberi persetujuan kepada Orang Asli untuk melakukan sekatan di beberapa laluan pembalakan bagi menuntut tanah adat mereka.

Ketua Pengarahnya, Mohd Jamalludin Kasbi, bagaimanapun berkata pihaknya akan sentiasa memberi sokongan jika tuntutan tersebut dilaksanakan berlandaskan peraturan dan undang-undang.

“Tindakan membuat sekatan di beberapa laluan pembalakan sebenarnya mencabar Dasar Perhutanan Negara dan saya harap kesemua 47 Orang Asli yang ditahan Selasa lepas, kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penghulu Orang Asli di Wisma Persekutuan Gua Musang di sini, hari ini.

Selasa lepas, 47 Orang Asli yang membuat sekatan di Simpang Petei dan jalan masuk ke Pos Bihai, ditahan polis selepas enggan berganjak dan tidak beredar daripada kawasan sekatan ketika operasi dijalankan Jabatan Perhutanan Kelantan.

Bagaimanapun mereka yang direman antara dua dan tiga hari itu dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam.

Operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan antara kerajaan negeri dan Orang Asli menemui jalan buntu, dipercayai disebabkan ada campur tangan pihak luar.

Dalam pada itu, Mohd Jamalludin berkata pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan dan kemajuan Orang Asli di seluruh negara, namun pada masa sama, tetap melarang mana-mana tindakan diambil oleh Orang Asli jika bertentangan dengan undang-undang.

Beliau berkata kerajaan juga sudah menyediakan tanah seluas 176,000 hektar kepada Orang Asli di seluruh negara untuk penempatan dan pembangunan pertanian bagi masyarakat berkenaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");