Membawang Hari Ini

Harun kumpul duit belajar berlakon

MUNGKIN ramai yang masih ingat dengan pelakon Harun Hashim yang cukup terkenal dengan lakonannya yang cukup berkarakter dan sering meninggalkan kesan kepada penonton.

Semenjak melibatkan diri dalam bidang lakonan pada 1976 sehinggalah ke hari ini, dia yang pernah mengambil kelas lakonan asas di Kompleks Budaya Negara pada awal kemunculannya ini telah berlakon lebih 100 teater dan drama TV.

“Saya sebenarnya meminati bidang seni semenjak dari sekolah lagi, namun mungkin kerana keluarga tidak begitu memberi galakan, maka saya tidak begitu serius menunjukkan minat ke arah itu.

“Hanya selepas saya berhijrah ke Kuala Lumpur selepas tamat peperiksaan SRP, barulah keinginan itu timbul kembali, apatah lagi apabila saya beberapa kali terserempak dengan artis popular di tempat kerja saya,” ujar anak kelahiran Kapar, Klang ini.

Bercerita kisah lalunya, kata Harun, sebelum bergelar anak seni dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidupnya di Kuala Lumpur sekitar 1970-an dulu.

“Waktu mula-mula saya datang ke Kuala Lumpur, saya bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran dengan bayaran sebanyak RM40 sebulan dan kemudiannya ditawarkan oleh seorang kenalan untuk bekerja sebagai tukang jahit pakaian penari kebudayaan.

“Walaupun tiada pengetahuan asas dalam jahitan, saya ambil cabaran itu sebagai pengalaman dan siapa sangka menerusi pekerjaan itulah saya mula mengenali orang-orang dalam bidang seni sehingga membawa saya kepada keinginan untuk mengambil kelas lakonan serta bergelar anak seni,” imbasnya.

Biarpun lebih dikenali di kaca TV menerusi sederetan judul drama lakonannya, Harun sebenarnya memulakan kerjaya seninya di pentas teater.

“Lakonan pertama saya adalah menerusi teater Bukan Lalang Ditiup Angin yang dipentaskan pada 1976, di mana ia menjadi permulaan buat saya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

“Ketika itu, teater begitu berpengaruh dan saya mendapat banyak peluang untuk berlakon pentas sekali gus membantu saya untuk menimba pelbagai ilmu dan pengalaman untuk memantapkan diri dalam lakonan,” katanya.

Selepas namanya menjadi sebutan di pentas teater, Harun yang cukup dikenali sebagai pelakon berkarakter ini mula mendapat peluang untuk berlakon drama TV pula.

“Walaupun saya lebih suka dengan lakonan pentas, namun tidak nafikan menerusi drama TV saya berpeluang menjayakan pelbagai watak dan ia banyak mencabar kemampuan lakonan saya.

“Ketika itu RTM menjadi satu-satunya stesen TV yang aktif menerbitkan drama dan memberi peluang kepada ramai pelakon untuk ke depan termasuklah saya yang cuba menggunakan peluang itu dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Antara drama popular lakonan Harun ialah Opah, Pa’e, Tsunami Melanda, Petai Untuk Cikgu, Manjalara, Sampai Syurga dan lain-lain.

Namun ketika meniti zaman kegemilangannya, Harun tiba-tiba hilang seketika dalam dunia seni pada awal tahun 1990-an kerana mengidap penyakit misteri.

“Lama menderita sakit tersebut sehingga membuatkan saya terpaksa melupakan seketika kerjaya lakonan kerana perlu mendapatkan pelbagai rawatan dalam usaha untuk pulih seperti sedia kala.

“Ketika itu saya sudah hilang semangat dan lebih banyak menyendiri, namun dalam tempoh 12 tahun melalui pengalaman itu, saya menyedari cinta saya kepada bidang seni terutamanya lakonannya tidak pernah padam,” katanya yang kini sudah kembali sihat.

Kembali aktif

Justeru, biarpun sudah menginjak ke usia 60 tahun, Harun menyuarakan hasrat untuk kembali aktif dalam dunia seni, kalau tidak sebagai pelakon pun dia menyimpan hasrat untuk menurunkan ilmunya kepada pelapis baru dalam bidang seni.

“Saya faham dengan perubahan zaman sekarang di mana stesen TV mahupun produksi inginkan pelapis baru untuk terlibat dalam drama terbitan mereka, namun kalau ada peluang yang bersesuaian saya tidak menolak untuk berlakon kembali.

“Kalau tak pun, saya mahu berkongsi ilmu yang ada ini dengan pelapis-pelapis baru agar ia dapat dapat digunakan dengan sebaiknya dan seterusnya menyumbang sesuatu kepada dunia seni tempatan,” katanya yang pernah menurunkan ilmu lakonan kepada Raja Azura sebelum ini.

Tidak sekadar kata-kata, Harun kini sedang giat menganjurkan kelas lakonan dalam usaha untuk berkongsi ilmu lakonannya dengan anak-anak muda yang berminat.

“Mungkin inilah salah satu cara yang dapat saya lakukan untuk membantu generasi muda dan industri seni khususnya dengan ilmu yang saya ada daripada ia terpendam begitu sahaja dalam diri saya.

“Lagipun sejak sakit, saya menganggap aktiviti yang melibatkan dunia lakonan sebagai ‘ubat’ untuk saya membina kembali semangat saya yang telah hilang sebelum ini.

“Jika tidak berlakon atau mengajar ilmu lakonan, saya akan cenderung untuk bersendirian dan sekali gus menjadikan saya tidak gembira,” akuinya yang berbangga melihat anak didiknya berjaya dalam bidang lakonan.

Bagi mengubati rindunya dalam bidang lakonan, Harun kini sedang giat membuat persiapan untuk muncul dalam pementasan teater Putera La Galigo yang bakal dipentaskan di Stadium Melawati pada 16 hingga 18 Disember ini.

“Disebabkan rasa rindu untuk berlakon pentas, saya datang menjalani uji bakat teater ini dengan harapan dapat meluahkan kembali semangat saya dalam dunia lakonan yang telah lama saya tinggalkan.

“Pada mulanya agak kekok juga, namun apabila menjalani latihan setiap hari dan berkongsi pendapat serta idea dengan rakan-rakan pelakon lain termasuk pengarah, keyakinan saya untuk berada di pentas kembali ada,” tegasnya penuh semangat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");