PARIT BUNTAR – Mara bakal mempertimbangkan cadangan menjadikan kawasan pekarangan bangunan agensi itu sebagai pusat perniagaan berkonsepkan uptown di seluruh negara sekiranya bersesuaian.
Pengarah Bahagian Kawalan Kredit Mara, Mohd Salleh Abdullah berkata, cadangan itu disifatkan bersesuaian dengan hasrat agensi itu membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan kecil bumiputera.
Menurutnya, pihaknya terkesan melihat kejayaan penganjuran Mara Daerah Kerian dalam mewujudkan D’Mara Uptown, satu-satunya bazar perniagaan berkonsepkan uptown diselia sendiri agensi itu di Malaysia sejak dua bulan lalu.
“Mara menyedari banyak bangunan Arked Mara di seluruh negara yang tidak ‘hidup’ pada waktu malam disebabkan ketiadaan aktiviti perniagaan yang menggalakkan kehadiran pengunjung ke situ.
“Senario itu sebenarnya merugikan usahawan bumiputera yang menyewa di bangunan tersebut kerana dengan adanya satu aktiviti perniagaan berkonsepkan uptown, pastinya ia mampu menggamit kehadiran pengunjung terutama golongan muda,” katanya sewaktu mengadakan lawatan santai ke bazar D’Mara Uptown, malam kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Mara Daerah Kerian, Syamsul Anuar Roslili dan Pengurus Pusat GiatMara Parit Buntar, Mohd Salleh Idris.
Mohd Salleh berkata, pihaknya bersedia memanjangkan cadangan mewujudkan pusat perniagaan pada waktu malam di pekarangan bangunan Arked Mara di seluruh negara dalam mesyuarat peringkat tertinggi secepat mungkin.
Menurutnya, penganjuran pusat perniagaan berkonsepkan uptown secara tidak langsung membantu usahawan yang menyewa premis Arked Mara melanjutkan operasi perniagaan mereka.
“Mara sentiasa memikirkan inisiatif terbaik membantu memajukan perniagaan usahawan bumiputera dan inisiatif Mara Daerah Kerian sememangnya dipuji dan perlu dijadikan contoh kepada cawangan Mara lain.
“Mara bersedia membantu Mara Daerah Kerian menyalurkan sokongan dalam memeriahkan lagi penganjuran D’Mara Uptown.
“Ditambah penganjuran pelbagai aktiviti menarik setiap minggu, saya yakin dengan potensi D’Mara Uptown yang secara tidak langsung sebenarnya menjadi produk pelancongan terbaharu daerah Kerian,” katanya.
Sementara itu, Syamsul Anuar menegaskan penganjuran D’Mara Uptown pada hujung minggu lalu dimeriahkan dengan kehadiran tujuh kelab kereta melibatkan penyertaan lebih 100 kereta.
“Selain mengadakan pertandingan pertunjukan audio, pengunjung D’Mara Uptown berpeluang menyaksikan sendiri kereta keluaran Proton yang dimodifikasi di samping kereta antik.
“Program ini adalah antara pengisian diatur Mara bagi menggalakkan kehadiran pengunjung ke D’Mara Uptown dan saya berharap inisiatif itu mendapat sokongan semua pihak,” katanya.
-Sinar Harian