Jenayah

Hotel terbakar di Switzerland: Pelajar Malaysia selamat

KUALA LUMPUR: “Saya bersyukur kerana terselamat walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang,” kata pelajar Malaysia yang terselamat dalam kejadian kebakaran hotel di Switzerland pada Jumaat.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Zaty Nazurah Halim, 20, yang sedang mengikuti latihan amali di hotel berkenaan, berkata ketika kejadian dia baru menghabiskan syif hariannya.

“Sebaik tiba di bilik penginapan yang disediakan majikan di tingkat satu, saya terus berehat… tiba-tiba pintu bilik diketuk dengan kuat diiringi suara orang menjerit menyuruh menyelamatkan diri.

“Baru saya tersedar yang hotel sedang terbakar. Ketika itu ramai pekerja dan pengunjung lari menyelamatkan diri,” kata pelajar tahun akhir Business and Hotel Management School, Luzern Switzerland ketika dihubungi menerusi WhatsApp, hari ini.

Zaty Nazurah dan beberapa pekerja hotel itu kini ditempatkan di sebuah hotel berhampiran.

Katanya, semua dokumen penting termasuk pasportnya gagal diselamatkan.

“Paling penting saya sudah memaklumkan keluarga di Malaysia (saya selamat) kerana tidak mahu mereka bimbang. Malah, kakak saya, Zaty Ewani Halim turut membantu menghubungi wakil pendidikan di sini memaklumkan apa yang berlaku,” katanya.

Agensi melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 4 petang waktu tempatan, dua parah dan berpuluh-puluh lagi cedera ringan apabila Hotel Holiday Villa Arosa terbakar.

Menurut polis, kebakaran bermula di tingkat bawah hotel berkenaan sebelum merebak ke bahagian lain.

Polis wilayah Graubunden timur dalam satu kenyataan berkata, dua mangsa cedera parah dan seorang yang mengalami kecederaan kurang serius diterbangkan dengan helikopter ke hospital dekat Chur.

Seramai 10 lagi mangsa cedera ringan dirawat di tempat kejadian.

Semua pelanggan hotel dipindahkan dan penduduk yang tinggal berhampiran diarahkan agar menutup tingkap dan tidak keluar rumah kerana asap tebal.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");