Jenayah

Identiti kumpulan penculik belum dikenal pasti

KOTA KINABALU: Polis belum mengenal pasti identiti kumpulan penculik yang ditumpaskan dalam pertempuran dengan anggota Tiger Platoon dari Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan berhampiran Pulau Gaya, Semporna, malam kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun, bagaimanapun berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti kumpulan terbabit yang juga penjenayah rentas sempadan.

“Kita belum pasti dari kumpulan mana tapi mereka datang dari luar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Bengkel dan Latih Amal Ex-Rampas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Dalam pertempuran kira-kira seminit pada jam 9.51 malam kelmarin, tiga penculik maut, dua ditahan dan seorang mangsa diselamatkan, manakala dua lagi penculik serta seorang lagi mangsa hilang.

Abdul Rashid berkata, pihak berkuasa Filipina juga sudah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Sementara itu, katanya, dua suspek kumpulan penculik yang ditahan dalam pertempuran berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana memiliki senjata api dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Katanya, siasatan terhadap kedua-dua suspek yang berumur akhir 20-an dan 30-an itu penting bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kegiatan kumpulan berkenaan.

“Banyak perkara yang kita nak tanya dan siasat daripada kedua-dua suspek,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mencari dua suspek dan seorang lagi mangsa yang hilang selepas pertempuran itu masih giat dijalankan dengan kerjasama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan semua agensi keselamatan.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");