Membawang Hari Ini

Intan Sarafina: Saya masih bertatih

SEJAK memasuki program Gegar Vaganza (GV), nama Intan Sarafina kembali menjadi sebutan. Mendiamkan diri selama lapan tahun membuatkan Intan Sarafina atau lebih mesra disapa Intan mengakui masih gugup beraksi di hadapan kamera.

Dek kerana itu, Intan atau nama sebenarnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya sering menerima teguran wajahnya tiada ekspresi ketika membuat persembahan.

Itulah komen yang biasa didengar biarpun langkah kakinya sudah menuju ke peringkat akhir program tersebut.

“Saya akui setiap komen yang diterima. Itulah kelemahan saya sejak awal lagi.

“Tapi, saya taklah duduk diam, sebaliknya mengikuti kelas dengan ibu Fauziah Nawi untuk membaiki kelemahan diri,” ujarnya.

Tempoh lapan tahun itu dirasakan begitu lama untuknya untuk cuba memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.

“Saya tak marah pun juri kata macam tu, sebab tu saya ambik inisiatif untuk belajar vokal dan kelas intensif.

“Bagilah masa untuk saya perbaiki kelemahan. Sebabnya, saya dah ambik keputusan untuk aktif semula menyanyi,” ujar ibu kepada tiga anak ini.

Bagi Intan, setiap komen dihadam dengan baik untuk pastikan persembahan pada konsert akhir nanti dapat memberikan persembahan terbaik darinya.

“Ini pentas akhir, dah pasti saya akan buat sehabis baik,” katanya.

Cabaran lagu lelaki

Intan antara peserta GV yang sering diberikan lagu daripada penyanyi lelaki hinggalah untuk pentas akhir akan mendendangkan lagu Anuar Zain, Sedetik Lebih.

Mengakui ia cabaran besar buatnya, Intan tidak mahu mengalah sebaliknya akan cuba sehabis baik.

“Bagi saya, sangat susah untuk menyanyi lagu penyanyi lelaki. Banyak minggu saya dapat lagu lelaki.

“Walaupun saya memang suka lagu-lagu ini, tapi ia tak senang. Dari segi emosi, kawalan suara membuatkan adakala saya rasa kepayahan itu.

“Tapi, sepanjang bersama GV, ada juga lagu lelaki yang saya senaraikan diterima produksi macam lagu Jika Kau Rasa Getarnya (Slam) dan Aku Yang Tersakiti (Judika).

“Saya puas hati dapat nyanyi lagu-lagu ini dalam versi saya sendiri,” ujarnya yang mengikuti kelas vokal bersama Syafinaz.

Baginya, kelas vokal banyak membantu persembahannya saban minggu.

“Bila dah lama tak nyanyi, suara pun susah nak keluar. Jadi kelas vokal sangat membantu. Walaupun hanya sejam saja, tapi saya rasa berbaloi, banyak teknik yang saya belajar,” katanya.

Intan yang sebelum ini pernah popular dengan lagu Kembali dan Duhai Malam ini juga sebenarnya antara peserta ‘underdog’.

“Saya sedar perkara itu. Saya juga dikategorikan antara peserta yang akan disingkir pada minggu-minggu awal.

“Tapi, kerana rezeki saya masih di sini, kerana kepercayaan saya masih bersama GV.

“Menjadi peserta ‘underdog’ membuatkan saya lebih semangat untuk buktikan kemampuan diri,” jawabnya penuh hati-hati.

Kembali aktif

Umum mengetahui, GV merupakan platform terbaik untuk seseorang penyanyi kembali aktif di persada seni suara.

Begitu juga Intan yang akan kembali menyanyi secara sepenuh masa.

“Inilah langkah mula saya dalam bidang ini. Walau dah lama tinggalkan dunia nyanyian, tetapi GV membuatkan saya ada keyakinan diri dan akan terus melangkah.

“Sekarang ni pun, saya sedang dalam proses rakaman lagu baru.

“Terima kasih kepada Tam Spider yang sudi nak bekerjasama dengan saya. Lagu baru tu nanti lebih berentak balada. Itulah sebagai langkah mula saya, harapnya diterima,” katanya yang mendapat sokongan penuh keluarga dan peminat setianya.

Intan juga mengakui agak kekok untuk memulakan rentak, tapi dengan keyakinan yang diberikan, ia seperti semangat buatnya.

“Saya beruntung dikelilingi orang-orang yang positif. Jadi secara tak langsung, ia tambah keyakinan dan kesungguhan untuk menyanyi,” jelasnya yang akan menyanyikan lagu Ziana Zain Kemelut di muara kekasih di pentas akhir GV nanti.

Pentas akhir GV yang dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse akan berlangsung pada 4 Disember ini di Dewan MBSA Shah Alam. Ia juga akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD (123).

Ia juga akan diadili dua juri profesional Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim dan seorang juri jemputan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");