Berita Hari Ini

ISM diselari agenda TN50

Putrajaya: Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia (ISM) boleh diselarikan dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ia selaras dengan impian besar kerajaan membawa negara antara 20 terbaik di dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Menurutnya, pelaksanaan ISM yang berteraskan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mampu memacu transformasi urus tadbir negara, sekali gus memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Kita mempunyai matlamat jangka sederhana mencapai 2 trilion ekonomi dalam tempoh lapan tahun lagi. Sekarang kita berada pada tahap RM1.3 trilion ekonomi, kini bayangnya sudah nampak dengan (pelbagai projek) seperti HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi), MRT, LRT, East Coast Rail Link (ECRL) dan projek Pan Borneo.

“Insya-Allah, kita boleh capai apa yang dihasratkan, tetapi kita mahu lebih dari itu dan kerajaan mahu dalam masa 30 tahun lagi Malaysia menjadi antara 20 negara terbaik di dunia…ini juga perlu dilihat dalam konteks Maqasid Syariah kerana prinsip ini bukan hanya untuk orang Islam tetapi universal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Pelan Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia 2016-2018 di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Pelan Pelaksanaan ISM merangkumi hala tuju yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya dapat bergerak secara tersusun dan mencapai matlamat, visi, misi dan objektif ISM.

Ia termasuk pembentangan ISM, tindakan susulan terhadap dapatan penyelidikan, meneruskan program dasar dan penjelasan yang akan dilaksanakan sepanjang 2016, 2017 dan 2018, selain usaha mengetengahkan ISM ke peringkat antarabangsa.

Najib berkata, beliau berpuas hati dengan siri penjelasan mengenai prinsip Maqasid Syariah yang sudah dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");