Panasnya Hari Ini

Israel Perlu Digantung Keahlian PBB Jika Tidak Patuhi Resolusi 2334

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyarankan wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengusahakan satu tempoh khusus diberi kepada Israel bagi negara itu mematuhi Resolusi 2334.

Mahfuz berkata, beliau khuatir Resolusi 2334 yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB pada 23 Disember lalu akan menerima nasib yang sama seperti 28 Resolusi sebelum ini.

“Perlu semua ingat bahawa semenjak Israel menyertai PBB dengan bersyarat melalui resolusi PBB 181 (II), namun sejak daripada itu, Israel telah melanggari 28 Resolusi PBB tanpa sebarang tindakan diambil kepada mereka.

“Kini sekali lagi Israel telah menyatakan mereka tidak akan tunduk dan akur kepada Resolusi 2334 malah Israel menempelak resolusi tersebut.

“Saya khuatir Resolusi 2334 akan menerima nasib yang sama seperti 28 Resolusi sebelum ini sebagai resolusi ‘gajah putih’ ke-29 untuk Israel,”katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya.

Terdahulu, resolusi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB itu mendesak Israel menghentikan seluruh aktiviti di wilayah Palestin terjajah termasuk Timur Baitulmaqdis telah dipersetujui dengan mendesak pembinaan penempatan haram Israel semenjak tahun 1967 dihentikan.

Resolusi 2334 yang dibawa oleh Malaysia itu turut mendapat sokongan dari tiga anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB yang lain iaitu New Zealand, Senegal dan Venezuela.

Mahfuz berkata, bagi memastikan air muka PBB dan nama baik anggota khususnya Malaysia tidak tercalar, satu tempoh khusus perlu diberi kepada Israel bagi negara itu mematuhi Resolusi 2334.

“Sekiranya arahan ini gagal dipatuhi, maka Malaysia perlu mendesak keahlian Israel digantung dari PBB sebagai hukuman atas melanggari Resolusi 181 (II) dan 28 resolusi berkaitan keamanan disamping yang terkini iaitu Resolusi 2334.

“Jika tiada sebarang tindakan tegas dan hukuman yang keras ke atas Israel untuk mematuhi Resolusi 2334, ini bermakna Majlis Keselamatan PBB dan PBB hanya ‘boneka’ Israel,”tegas Mahfuz.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");