KUALA LUMPUR: Ketibaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Dataran Parlimen pada jam 11 pagi tadi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyambut keberangkatan tiba baginda.
Baginda diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan kawalan kehormat.
Ia disusuli lagu Negaraku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Kapten Nor Azizan Yahaya.
Serentak itu, panji-panji Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Sultan Muhammad kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Mohd Riduan Mohd Basheer.
Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri dan disusuli dengan tabik ‘Hormat Diraja’ serta lagu Negaraku.
Baginda kemudian menerima menghadap Menteri Kabinet dan ketua jabatan sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.