Membawang Hari Ini

James Franco yang sensasi di Hollywood

HOLLYWOOD tidak pernah sunyi dengan kisah hangat dan sensasi pelakonnya, sama ada melalui cerita cinta sehingga kepada filem yang dilakonkan, semuanya ‘memancing’ perhatian ramai.

Salah seorangnya ialah aktor kacak, James Franco yang sering menjadi tumpuan lensa kamera paparazi yang mahu meneropong setiap inci kisah peribadi aktor kelahiran California ini.

Biarpun usianya sudah menginjak pada angka 38 tahun, namun dia masih menjadi buruan media dan peminat khususnya wanita.

Franco mula mencuri tumpuan ramai apabila beraksi sebagai ikon legenda, James Dean dalam filem biografi penyanyi berkenaan pada tahun 2011.

Atas pencapaian membanggakan dalam filem tersebut, Franco dijulang dengan pengiktirafan sebagai Pelakon Drama TV Terbaik.

Susulan kejayaan yang diraihnya itu, secara langsung membuka mata ramai produser untuk mengambil aktor yang dilahirkan pada 19 April 1978 berlakon di dalam filem mereka.

Antara filem mega lakonannya ialah Spider-Man, Pineapple Express, Rise of the Planet of the Apes, Spring Breakers dan Oz the Great and Powerful yang ditayangkan pada tahun 2013.

Terbaru, Franco bakal menemui peminatnya di seluruh dunia menerusi filem komedi, Why Him? yang dijangka menarik perhatian mereka untuk ke panggung.

Filem komedi romantik ini mengisahkan tentang seorang bapa yang telah mencetuskan permusuhan di antaranya dengan teman lelaki anak perempuannya yang kaya-raya.

Rentetan itu, pelbagai insiden menarik berlaku hingga membawa kepada aksi komedi yang mencuit hati.

Selain Franco, filem ini turut dibintangi Bryan Cranston, Zoey Deutch, Megan Mullally dan Griffin Gluck. Filem arahan John Hamburg ini akan ditayangkan di Malaysia penghujung Disember ini.

Selepas Why Him?, bintang hebat ini turut menantikan deretan filem lain yang menanti giliran untuk ditayangkan termasuk Bukowski, Zeroville dan The Masterpiece.

Aktif dalam kebajikan

Seiring dengan perjalanan seninya yang sukses, aktor ini juga aktif dalam hal berkaitan kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Franco adalah antara ahli Art of Elysium, iaitu sebuah badan amal khas yang ditubuhkan khusus untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit serius.

Pada masa sama, Franco turut terlibat di dalam beberapa organisasi bukan kerajaan lain untuk membantu pelajar dalam bidang akademik, kesihatan dan sebagainya.

Misalnya pada tahun 2011, aktor ini telah menganjurkan bengkel, An Evening with James Franco di Washington yang memberi pendedahan dan galakan kepada pelajar untuk mencungkil bakat penulisan.

Malah, Franco juga aktif di dalam kempen kesedaran untuk membasmi HIV dan AIDS.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");