Berita Hari Ini

Jemaah Pemangku Sultan Kedah terbubar 12 Dis ini

ALOR SETAR – Barisan Jemaah Pemangku Sultan negeri Kedah akan terbubar secara sendiri apabila Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember.

Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, menurut Perkara 18(4)(c) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, Jemaah Pemangku Sultan hendaklah berhenti daripada menyempurnakan pekerjaannya setelah Raja balik ke Kedah.

“Jemaah Pemangku Sultan dilantik oleh Tuanku Sultan semasa baginda berangkat ke Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong, jadi apabila Tuanku tamat jawatan dan balik memerintah negeri, maka Jemaah pun tamat jawatan,” katanya kepada Bernama.

Perkara 18(4)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah turut memperuntukkan bahawa Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Sultan tidak boleh lagi bertindak apabila Raja tidak lagi memegang takhta atau melaksanakan peranan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah melantik empat anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi memastikan pemerintahan negeri berjalan dengan sempurna, sehari sebelum diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011.

Istiadat pemasyhuran Jemaah Pemangku Sultan berkenaan diadakan di Istana Anak Bukit pada 12 Disember 2011, dengan upacara mengangkat sumpah semua anggota jemaah diadakan di hadapan Sultan Abdul Halim dan Sultanah Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Almarhum adinda Seri Paduka, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dilantik sebagai pengerusi dan anggota Jemaah yang lain ialah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Selepas kemangkatan Tan Sri Tunku Annuar pada 20 Mei 2014, Tan Sri Tunku Sallehuddin diisytihar sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan berkuat kuasa 21 Mei 2014. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");