Jenayah

Jenazah ibu kembar 3 selamat dikebumi

MARANG: Jenazah ibu kepada kembar tiga yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3.8, Jalan Tampin-Gemas, dekat Desar Permai, Seremban, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating, dekat sini, pagi ini.

Jenazah Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, yang meninggal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar, Seremban akibat kecederaan dalaman badan dan patah kaki, dibawa pulang dengan kenderaan jenazah dan tiba di surau Kampung Serating, kira-kira jam 1.15 pagi.

Jenazah mangsa kemudiannya terus disolat sebelum diusung penduduk kampung ke tanah perkuburan berdekatan dan selamat dikebumikan pada kira-kira jam 2 pagi.

Ibu mangsa, Kelsom Ludi, 61, berkata, beliau menerima berita mengenai pemergian anaknya itu daripada anak sulung, kira-kira jam 1.40 tengah hari.

“Selepas solat Zuhur, mak cik membaca surah Yasin sebanyak dua kali dan sebaik selesai berdoa, mak cik menerima berita sedih itu,” katanya.

Kemalangan kira-kira jam 3 petang, Sabtu lalu, mengorbankan suami Wan Suhana, Mohd Fadzil Jusoh, 37 dan dua anak kembarnya, Nur Farhana dan Muhammad Farhan, berusia setahun.

Seorang lagi kembar, Muhammad Farhimi telah dibenarkan keluar dari hospital.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");