Berita Hari Ini

JPJ diarah siasat punca kemalangan bas

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah membuat pemeriksaan rapi terhadap bas ekspres serta tahap kesihatan pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan 14 nyawa di Pagoh, Johor awal pagi tadi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata JPJ juga diarah bekerjasama dengan polis trafik dan pengendali Lebuhraya Utara-Selatan itu bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.

Di Jelebu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengetuai pasukan penyiasat yang turut disertai pegawai daripada JPJ.

Menurutnya, siasatan terperinci melibatkan aspek teknikal akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 orang termasuk pemandu itu.

“Polis kini masih buat siasatan, (manakala) JPJ dan Miros di mana Miros akan mengetuai siasatan dari segi teknikal…kita akan lihat apakah kesalahan dan kelemahan yang ada pada bas itu.

“Kita tunggulah laporan terperinci nanti. JPJ akan hantar pegawai untuk melihat dari segi dokumentasi, lesen memandu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Klawang Datuk Yunus Rahmat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzri berkata pihaknya juga akan melihat apakah bentuk tindakan yang akan diambil terhadap syarikat bas berkenaan, selepas laporan penuh kemalangan selesai dilakukan.

“Kita tunggu laporan penuh daripada polis (dahulu) tapi Miros akan hantar pasukan penyiasatnya dan Miros ini profesional…dia tahu cari sebab teknikal kemalangan,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.30 pagi itu, 14 orang maut manakala 16 lagi cedera apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di Km137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

Daripada 16 yang cedera, enam adalah warga Singapura dan dua warga Myanmar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nadzri berkata tiada maaf bagi pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas sepanjang ‘Op Jalan’ yang bermula hari ini hingga 26 Disember dan 30 Disember hingga 2 Januari 2017 sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru.

Beliau berkata pemandu yang melakukan kesalahan seperti memotong barisan berkembar; melanggar lampu isyarat merah; tidak memakai tali pinggang keledar; menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong secara berbahaya akan dikompaun maksimum RM300 serta-merta.

“Lebih 3,000 anggota terlibat dalam operasi ini yang mana tumpuan kita kali ini selain daripada kawasan sesak dan berisiko kemalangan, kita juga akan membuat rondaan sekerap mungkin.

“Cara meletakkan anggota secara statik di kawasan tumpuan kemalangan agak kurang berkesan dan dengan melakukan rondaan, nampaknya ianya lebih berkesan,” katanya.

Mengenai pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan kecemasan, beliau berkata mereka tidak akan diberikan kompaun sebaliknya terus didakwa di mahkamah.

Katanya, sehingga November lepas, sebanyak 7,963 kes direkodkan atas kesalahan menggunakan laluan kecemasan dan daripada jumlah itu, 30 peratus atau 2,388 pesalah telah didakwa di mahkamah termasuk warganegara asing.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");