Jenayah

Kaki judi parah ketika larikan diri

KUALA TERENGGANU: Seorang kaki judi parah di tangan terkena kaca tingkap nako dalam usaha melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa kerana membeli nombor ekor, dalam satu serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sebuah kedai makan di Kuala Nerus, petang kelmarin.

Dalam operasi ‘Ops Judi’ yang dijalankan kira-kira jam 5.15 petang, lelaki berusia 50-an itu dipercayai nekad memilih salah satu sudut tingkap nako yang ada di kedai makan terbabit untuk menyelinap keluar bagi mengelak daripada ditangkap.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguat kuasa Syariah JHEAT, Nik Zulhaiza Ismail berkata, bagaimanapun saiz badan yang agak besar menyulitkan pergerakannya menyebabkan salah satu tingkap nako pecah sebelum terkena pada tangannya.

Menurut Nik Zulhaiza, akibat insiden terbabit, suspek mengalami kecederaan agak serius di tangannya sebelum akhirnya terpaksa menyerah diri dan diberikan rawatan susulan.

“Selain itu, ada juga dalam kalangan kaki judi ini nekad menyembunyikan diri dengan memanjat siling kedai makan sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa selain ada daripada mereka memberanikan diri cuba bertindak kasar dengan anggota semata-mata mengelak daripada ditahan.

“Setelah bertungkus-lumus berdepan dengan tindakan agresif beberapa orang suspek yang semasa serbuan masing-masing sedang asyik membeli nombor ekor, kita berjaya menahan lapan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya lagi, kedai makan itu diserbu selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai memaklumkan pemilik premis itu aktif menjalankan urus niaga jual nombor ekor kepada masyarakat Islam di sekitar kawasan terbabit terutamanya orang kampung yang tinggal berhampiran.

Operasi berkenaan disertai 18 anggota penguat kuasa JHEAT dengan kerjasama lapan anggota dari Agensi Antidadah Berbahaya (AADK) Kuala Terengganu.

Lapan individu yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 22, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berjudi, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Nik Zulhaiza berkata, kesemua yang ditahan telah dibebaskan dengan bon jaminan untuk hadir ke mahkamah bagi proses pendakwaan di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, di sini, pada tarikh yang ditetapkan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan atau aktiviti tidak sihat di kawasan masing-masing boleh membuat aduan atau menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi talian 019-9512114, 019-9372114 atau 019-9132114.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");