Jenayah

Kali kedua rumah saya terbakar’

BATU PAHAT: “Ini kali kedua rumah yang saya diami terbakar, walaupun kedua-duanya musnah keseluruhan, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” kata mangsa kebakaran di Batu 13 1/2, Jalan Ismail, Senggarang.

Rosnah Dahlan, 59, berkata, rumah pertamanya terbakar tahun lalu, di mana ketika itu dia tinggal di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit. Kejadian itu juga menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun dia tetap bersyukur. Ketika kejadian semalam yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari, Rosnah sedang berniaga di pekan Senggarang, dan hanya mengetahui kejadian daripada jirannya.

“Terkejut pada mulanya, apabila saya dengar khabar yang rumah saya terbakar, ketika itu saya berada di pasar dan terus bergegas pulang.

“Dari jauh saya nampak kepulan asap hitam dan apabila sampai sahaja di kawasan rumah, saya lihat rumah saya telah musnah keseluruhannya dan tiada barangan yang mampu diselamatkan lagi.

“Saya juga lihat ketika itu, pasukan bomba sedang berusaha mengawal kebakaran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Pasukan Bomba, dari Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Khairul Kamarudin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.27 tengah hari.

Katanya, kekuatan dua jentera dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, melibatkan 10 anggota, membolehkan kebakaran berkenaan dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.13 petang.

“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan sekitar, dan siasatan berkaitan punca kebakaran masih dilakukan ke atas rumah separuh kekal terbabit,” katanya.

Sementara itu, kejadian kebakaran itu mendapat perhatian daripada Umno Bahagian Batu Pahat, di mana bantuan barangan keperluan harian telah diberikan melalui Biro Kebajikannya.

Menurut ketua biro berkenan, Mohd Hamidi Mad Tap, pihaknya juga akan mengetengahkan bencana yang dialami mangsa ini kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");