Membawang Hari Ini

Kata Celine jadi azimat siti

Ketika dirinya belum dikenali, insan seni lain menjadi idolanya dan memasang impian untuk bertemu. Begitu juga dengan penghibur tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang sangat meminati penyanyi antarabangsa, Celine Dion sejak usia remaja.

Impian Siti untuk bertemu mata dengan Celine, akhirnya tercapai pada 2008. Penyanyi Rahsialah Rahsia ini tidak mahu melepaskan peluang bertemu Celine yang datang ke Malaysia mengadakan konsert Taking Chances World Tour.

Alangkah berbunga hatinya apabila bertemu wajah dengan penyanyi My Heart Will Go On itu. Biar pun ha­nya 15 minit, ia benar-benar memadai buat mengubat rindu.

Siti akui berdebar ketika masuk ke bilik untuk bertemu Celine. Dia sedar penyanyi terkenal dunia itu kadangkala banyak kerenah. Sebaliknya, Siti terkejut dan kagum dengan sikap penyanyi itu sebaik sahaja berjumpa dengannya. Hilang segala debarannya dan timbul rasa teruja.

“Saya memang benar-benar meminati Celine Dion dan jadikan dia idola dalam bidang nyanyian. Saya cuba menyerap tenaganya ketika berada di pentas agar dapat dipraktikkan apabila mengadakan persembahan.

“Memang saya selalu tonton persembahannya menerusi YouTube. Sedikit sebanyak ada perkara yang saya dapat gunakan untuk diri sendiri,” katanya.

Kata Siti, peminat Celine pasti setuju walaupun hanya dengan melihat nyanyiannya di YouTube, ia masih mampu membangkitkan rasa ‘wah’ apatah lagi melihat persembahannya di depan mata.

“Semangat itulah yang saya ‘pinjam’ agar dapat menghiburkan peminat yang menyaksikan persembahan saya. Bagi saya biar semua orang yang mendengar lagu-lagu saya dapat merasai keikhlasan saya sebagai pe­nyanyi,” katanya.

Mengimbas pertemuan kali pertama dengan Celine, Siti akui tidak dapat menggambarkan perasaan gembira dan terujanya itu.

Paling mengejutkan, dia tidak sangka penyanyi terkenal itu senantiasa merendah diri. Dia juga peramah dan tidak sombong.

“Melihat layanan itu, saya sangat bangga menjadi peminatnya selama ini. Tidak hairanlah dia dikelaskan sebagai diva, menjadi legenda dan disayangi semua peminat.

“Semua itu disebabkan sikapnya yang sangat baik dan sikap itulah yang sepatutnya dibawa oleh mana-mana selebriti terkenal,” katanya.

Kata Siti, walaupun itu pertemuan pertama mereka, Celine langsung tidak dibayangi imej bintang terkenal antarabangsa.

“Kami berbual seperti sudah lama berkenalan. Celine juga tidak menunjukkan riak bosan atau kurang selesa menjawab pertanyaan yang saya ajukan kepadanya malah melayan mesra dan mengalu-alukan kedatangan saya.

“Dalam pertemuan itu, saya juga ambil peluang menghadiahkan album Hadiah Daripada Hati,” katanya.

Kata Siti, kenangan bertemu Celine tidak akan dilupakannya. Memori itu tidak hanya terhad dalam bentuk aktiviti yang dilakukan bersama tetapi terlalu subjektif dan kadangkala kata-kata semangat juga boleh menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan.

“Sudah semestinya saya tidak dapat melupakan saat manis ketika bertemu dengan idola saya. Kenangan yang tidak boleh dilupakan apabila dapat melihat dia melayan saya dengan sangat baik. Reaksi mesra yang terpancar pada wajahnya itu pun cukup menjadi kenangan paling indah,” katanya.

Siti juga mendedahkan, sebelum berkahwin dia pernah membeli tiket untuk menyaksikan konsert Celine di Las Vegas. Dia hadiahkan tiket itu pada diri sendiri sempena ulang tahun kelahirannya kerana itu kali pertama dia menghadiri konsert Celine dan melihat dia secara dekat.

Katanya, ketika itu dia tidak berpeluang untuk bersalaman dengan penyanyi itu apatah lagi mahu berjumpa.

“Peluang menyaksikan persembahan Celine menjadi hadiah hari jadi saya yang sangat bermakna. Melihat cara dia menyanyi di pentas membuatkan saya sangat kagum dengannya. Saya terlalu gembira ketika itu hingga menitiskan airmata.

“Masa itu saya langsung tidak pedulikan keadaan sekeliling hanya fokus pada setiap nyanyian yang didendangkan. Saya menonton persembahan Celine bukan semata-mata untuk berhibur tetapi juga ingin belajar cara dia kendalikan peminat serta menyampaikan lagu dengan baik,” katanya.

Siti juga akui mengumpul album Celine dan suka semua lagu nyanyiannya. Baginya, setiap lagu Celine mempunyai rasa berbeza dan ada keunikan tersendiri.

“Dia adalah bintang sebenar dan saya puas kerana satu daripada impian saya tercapai. Sampai saat ini, saya kagum dengan Celine,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");