KUALA LUMPUR 25 Dis. – Malaysia sekali lagi diyakini dapat menjadi tunggak utama dalam membantu membebaskan golongan etnik Rohingya daripada cengkaman kekejaman tentera Myanmar selepas negara ini berjaya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengharamkan penempatan Israel di wilayah Palestin.
Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, usaha berterusan Malaysia dalam mengusulkan draf resolusi kepada PBB untuk membantu Palestin membuktikan negara ini juga berkeupayaan bebaskan etnik Rohingya.
“Kejayaan Malaysia dalam membantu Palestin memberi sinar harapan kepada etnik Rohingya untuk mendapatkan kebebasan suatu hari nanti kerana mereka juga ditindas seperti rakyat Palestin.
“Saya juga berharap supaya Malaysia tidak akan berhenti membantu dan menyokong Rohingya sama seperti sokongan negara ini terhadap Palestin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Wakil Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan bahawa tindakan negara ASEAN seperti Malaysia memperjuangkan hak dan keadilan untuk masyarakat Islam Rohingya bukan bermakna negara ini mahu campur tangan dalam pentadbiran Myanmar.
Dalam pada itu, Zafar Ahmad juga menggesa agar PBB meletakkan pasukan pengaman di wilayah bergolak bagi memastikan keselamatan kumpulan sukarelawan yang ingin menghantar bekalan makanan serta ubat-ubatan kepada etnik Rohingya terjamin.
Katanya, langkah itu perlu memandangkan keadaan yang tidak boleh dijangka dan memastikan bekalan bantuan dapat dihantar terus kepada etnik Rohingya.
Sementara itu, Presiden Majlis Ulama Rohingya (MUR), Mohd. Jaber Mohd. Subahan turut melontarkan pandangan sama bahawa usaha Malaysia yang tegas dalam mengusulkan draf resolusi kepada PBB untuk Palestin menunjukkan kerajaan berani menegakkan keadilan.
“Tidak mustahil jika Malaysia juga berjaya membebaskan etnik Rohingya daripada kekejaman tentera Myanmar, sama seperti bantu Palestin mempertahankan wilayahnya daripada jajahan Israel.
“Malaysia bukan masuk campur pentadbiran Myanmar, sebaliknya membantu golongan yang ditindas dan mana-mana negara juga akan melakukan sedemikian atas dasar kemanusiaan,” ujarnya.
-Utusan Malaysia