Sukan Hari Ini

Kelibat Bottas kian hampir

London: Rombakan hujung musim Formula Satu tercetus lagi semalam dengan Williams mengumumkan pemergian ketua teknikal Pat Symonds (gambar) manakala Valtteri Bottas semakin hampir menyertai Mercedes dan persaraan Felipe Massa kelihatan akan berakhir.

Williams menyatakan Symonds, 63, akan meninggalkan mereka pada 31 Disember ini. Berita itu hadir berikutan spekulasi Paddy Lowe akan menyertai mereka dari pasukan juara dunia Mercedes untuk memegang peranan sama.

Symonds, yang bekerja dengan Ayrton Senna dari Brazil di Toleman pada 1980-an dan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher di Benetton pada 1990-an, menyertai Williams pada 2013.

“Pelantikan Pat adalah satu permulaan kepada penstrukturan besar dan beliau penting dalam membentuk Williams menjadi antara pasukan lumba disegani hari ini,” kata timbalan prinsipal Claire Williams.

“Kami kini memandang ke hadapan dan akan mengumumkan butiran mengenai kepimpinan teknikal pasukan tidak lama lagi.”

Symonds meninggalkan Formula Satu pada 2009 apabila beliau ketika itu kakitangan Renault terbabit dalam skandal menentukan keputusan perlumbaan selepas didapati mereka mengarahkan pemandu Brazil, Nelson Piquet supaya mengalami kemalangan secara sengaja pada Grand Prix Singapura 2008.

Warga Britain itu kembali sebagai konsultan pada 2011 bersama Virgin Racing, kini dikenali sebagai Manor.

Pemergiannya dari Williams bermakna bekas juara dunia itu, yang berakhir di tangga kelima tahun ini, akan memulakan tahun baru dengan beberapa muka baharu.

Pemandu Kanada, Lance Stroll, 18, akan melakukan penampilan sulung namun rakan sepasukannya masih tidak diketahui berikutan persaraan mengejut juara dunia baharu Nico Rosberg dari Mercedes.

Bottas, yang memandu di Williams sejak 2013, menjadi calon pilihan untuk menggantikan Rosberg sebagai rakan sepasukan Lewis Hamilton. Bos pasukan Mercedes Toto Wolff turut terbabit dalam menguruskan pemandu Finland itu.

Jika Bottas pergi, pemandu veteran Brazil, Massa dijangka menamatkan persaraan yang dicetusnya sendiri selepas dia mendapati tiada tempat lagi mahu ditujunya hujung bulan lalu.

Laporan media menyebut Massa, 35, sudah bersetuju dengan terma peribadi untuk kembali ke Williams sekiranya Bottas meninggalkan pasukan itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");