Sukan Hari Ini

Kemenangan cetus semangat Kuantan FA

KUANTAN: Pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria tidak mahu anak buahnya dibuai mimpi selepas skuad kendaliannya berjaya menewaskan Pahang 4-3 pada aksi persahabatan di Stadium Mini Temerloh malam semalam.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu belum membuktikan The Seagulls sudah menemui barisan mantap menjelang pembukaan aksi Liga Malaysia bulan depan.

“Jangan terlalu berpuas hati dengan kemenangan malam tadi. Lagi pun, ia baru aksi pertama dan hanya perlawanan persahabatan.

“Cuma, secara umumnya saya harap keputusan itu boleh memberikan semangat kepada mereka (pemain) dan boleh beraksi dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Semangat mereka (pemain) juga wajar diberikan pujian. Komitmen ditunjukkan juga memuaskan dan saya harap mereka kekal konsisten bagi memastikan Kuantan FA muncul pencabar dalam Liga Malaysia musim depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada aksi persahabatan itu, The Seagulls menewaskan Tok Gajah 4-3 dan keputusan pada separuh masa pertama menyaksikan Kuantan FA mendahului 3-1.

Kebangkitan yang cuba dilakukan skuad kendalian Dollah Salleh itu pada babak kedua gagal untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.

Dengan pasukan masing-masing menguji barisan pemain import, ia permulaan yang baik untuk menilai prestasi semua pemain yang akan memulakan kempen Liga Malaysia bulan depan.

Bagi Zulhamizan, aksi persahabatan dengan Pahang adalah yang terakhir untuk pra musim sebelum bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka bertemu FELDA United pada 6 Januari depan.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");