PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini akan mengumumkan keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Mahkamah dijadualkan menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi ini, terhadap permohonan semakan Anwar agar mahkamah mengguna pakai Aturan 137, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Secara alternatif, beliau mahu Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berhubung merit.
Pada 12 Oktober lalu, lima barisan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas mendengar hujah daripada peguam Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang mengetuai pasukan pendakwaan.
Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
– BERNAMA