Panasnya Hari Ini

Kerjasama Tun M – Pembangkang Kemuncak Pengkhianatan Kepada UMNO

KUALA LUMPUR : Kerjasama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan parti pembangkang merupakan kemuncak kepada pengkhianatan bekas Presiden UMNO terhadap parti yang diketuainya sejak puluhan tahun lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau kecewa dengan sikap berpaling tadah yang ditunjukkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai tokoh dulu, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan DAP, perhimpunan BERSIH, AMANAH, PKR dan lebih teruk dari itu, bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti George Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang.

“Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada UMNO, bangsa dan tanah airnya,”katanya yang dipetik dari ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016.

Terdahulu, Dr Mahathir mengambil keputusan meninggalkan UMNO sebagai tanda bantahan terhadap kepimpinan Najib yang dikatakan terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi.

Dr Mahathir kemudiannya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama-sama dengan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat dari UMNO akibat lantang mengkritik kepimpinan Najib.

Dalam masa yang sama, Najib yang juga Perdana Menteri menyentuh mengenai wala dan kesetiaan yang diberikan kepada UMNO.

“Wala dan kesetiaan yang diberikan kepada institusi yang sedang saya sandang ini adalah atas sebab tanggungjawab yang dipikul dan amanah oleh ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia.

“Pastinya wala dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri.

“Kesimpulannya, wala dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita adalah semangan sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya,”jelas Najib.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");