Berita Hari Ini

Ketepi ideologi politik semasa banjir – Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan agar perbezaan ideologi politik diketepikan semasa menghadapi bencana, khususnya banjir.

Tengku Abdullah menegaskan baginda sudah jemu mendengar isu perbezaan politik dibangkitkan sama ada di pusat perpindahan banjir atau ketika penyampaian bantuan mangsa banjir setiap tahun.

“Jika ada kelemahan, ia diperbesar-besarkan dan terdapat puak-puak yang tidak boleh makan dengan puak ini disebabkan perbezaan warna. Tumpuan yang lebih perlu diberikan sekiranya berlaku bencana seperti banjir serta mengetepikan masalah politik kampung. Itu nasihat saya.

“Kita perlu mempunyai semangat kemanusiaan apabila berlaku bencana atau darurat. Jangan melebih-lebih dalam politik. Saya sudah muak. Apabila bencana, kita perlu bersatu kerana ada tempat yang lebih sesuai untuk berpolitik,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian selepas menghadiri Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam negeri Zainal Yusoff.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian ketika banjir terdahulu, Tengku Abdullah mahu aspek kebersihan di pusat pemindahan banjir khususnya bilik air menjadi keutamaan semua pihak.

“Perkara yang ingin saya ingatkan ialah perlu memastikan bilik air sentiasa bersih kerana penyakit juga berpunca dari bilik air,” titah baginda.

Tengku Abdullah juga menitahkan agar kelemahan pengurusan banjir seperti kelewatan makanan tiba di pusat pemindahan, yang juga berlaku setiap tahun diperbaiki supaya mangsa banjir diberikan pertolongan sepatutnya.

“Kadangkala kita memahami bukan salah pihak berkuasa, tetapi disebabkan lori yang membawa bekalan makanan tersangkut dalam perjalanan ke pusat pemindahan, kerana itu yang menimbulkan masalah,” titah baginda.

Sebagai penyelesaian, Tengku Abdullah dimaklumkan bahawa pihak polis memberi jaminan akan membantu memberi laluan khas kepada lori yang membawa bekalan makanan secara berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tengku Abdullah bertitah, berhubung tindakan segelintir penduduk yang enggan berpindah, mereka seharusnya memahami tindakan pihak berkuasa membuat ketetapan itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Titahnya, perkara itu bergantung kepada keputusan segelintir masyarakat, kerana lebih menyayangi harta benda di rumah, namun sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini mereka perlu menanggung risiko sendiri. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");