Sukan Hari Ini

Kiraan 11 mata tak mencabar

PELBAGAI reaksi diterima berikutan cadangan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mahu mengguna sistem 11 mata bagi menggantikan format 21 mata yang digunakan sekarang.

Tidak ketinggalan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar yang turut berkongsi pandangan. Menurut Elyas, sistem kiraan 11 mata tidak akan memberi perubahan dalam badminton antarabangsa sebaliknya menjadikan sukan itu tidak menarik.

Malah, ia juga tidak memberi cabaran kepada pemain kerana tempoh perlawanan terlalu pendek.

“Sistem 11 mata terlalu pendek dan ia tidak memberi peluang kepada pemain untuk pamer kekuatan, pendek kata tidak mencabar langsung. Lebih baik kekalkan 21 mata atau kembalikan kepada 15 mata,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berpendapat sistem sekarang lebih seimbang dan sudah sebati dengan negara ini berbanding sistem kiraan 11 mata.

“Bagi saya sistem kiraan mata sekarang harus dikekalkan kerana ia merangkumi kekuatan fizikal, mental selain memerlukan tahap kecergasan pemain semaksima mungkin yang sinonim dengan sukan ini.

“Pada masa sama, ia juga beri kepuasan kepada pemain ketika di gelanggang,” katanya lagi.

Justeru itu katanya, “BAM perlu bertegas dan tidak mengikut bulat-bulat apa yang dicadangkan BWF.

“Mereka perlu pertahan jika mahu kiraan 21 mata dikekalkan, lagipun tiada faedah tukar sistem pun,” ujarnya.

Setakat ini, tujuh negara Asia sepakat mahu BWF membuat kajian menyeluruh sebelum mengguna sistem 11 mata bagi menggantikan format 21 mata. Tujuh negara Asia terbabit adalah Malaysia, China, Indonesia, India, Thailand, Korea Selatan dan Jepun.

Bagi mereka, penggunaan format 11 mata perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk pandangan peminat selain pemain serta jurulatih.

Pemain perlu bersedia

Sementara itu, Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer Larsen tetap kekal dengan pendirian apabila menganggap pertukaran itu satu kaedah yang bagus untuk sukan badminton itu sendiri.

Ini kerana katanya, ia akan menjadikan sukan itu lebih tangkas serta corak permainan lebih pantas. “Malah peluang juga akan seimbang buat pemain muda mahupun pemain senior.

“Setiap pemain perlu lebih pantas dan sentiasa fokus pada masa sama tidak boleh melakukan kesilapan mudah.

“Ia juga memerlukan kekuatan mental yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila beraksi (merebut) mata penentuan. Pemain yang lambat panas mungkin mengalami sedikit kesusahan untuk beraksi dalam sistem ini,” katanya.

Apa pun juga keputusan, pemain badminton negara perlu bersedia sebarang kemungkinan perubahan yang bakal dilakukan oleh BWF.

Jangan nanti memberi alasan kegagalan akibat tidak biasa dengan sistem baru ini. BWF akan terus mengkaji perubahan ini sebelum memuktamadkannya pada Mei 2017.

INFO:

SISTEM 15 MATA
– Digunakan pada 1877-2005
– Perlu memenangi dua daripada tiga setperlawanan
– Pemain perlu merampas servis daripada pihak lawan terlebih dahulu
– Mata hanya dikira untuk pemain yang melakukan servis sahaja
– Mengambil masa yang agak lama untuk ditamatkan

SISTEM 21 MATA
– Digunakan pada 2006 hingga sekarang
– Perlu memenangi dua daripada tiga set perlawanan
– Tidak perlu merampas servis
– Mana-mana pemain mendapat mata sekiranya bulu tangkis masuk/keluar dari gelanggang
– Dianggap lebih menarik serta menghiburkan

SISTEM 11 MATA
– Masih dalam cadangan dan ujian
– Perlu memenangi tiga set daripada lima set perlawanan
– Tidak perlu merampas servis
– Mana-mana pemain mendapat mata sekiranya bulu tangkis masuk/keluar dari gelanggang
– Memendekkan tempoh perlawanan
– Menjadikan perlawanan lebih rancak dan pantas

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");