Membawang Hari Ini

Kolaborasi sulung Aishah, Jason

SESI fotografi bersama Aishah Sinclair dan Jason Godfrey yang dijalankan tempoh hari berjalan dalam suasana yang agak santai.

Biarpun bertemankan mendung cuaca bersulam deraian hujan dan dentuman guruh menggegar alam, pasangan pengacara bagi program gaya hidup, Inspiring Homes itu tetap memberikan aksi menarik sewaktu diminta untuk bergaya di hadapan kamera.

Seperti kenalan yang telah lama menjalinkan persahabatan, tiada sebarang tingkah canggung terlihat di mata. Malah, Aishah, 36, yang juga merupakan penyampai radio Mix FM itu sesekali menghamburkan tawa kecil, tanda respons geli hatinya apabila Jason mula mengusik dan berjenaka.

“Jason merupakan seorang yang sangat lucu. Saya cukup senang bekerja dengannya sepanjang sesi penggambaran Inspiring Homes,” ujar Aishah atau nama lengkapnya, Aishah Jennifer Sinclair membuka bicara.

Ironi, kemesraan ekspres yang terjalin antara kolaborasi pertama Aishah dan bekas peragawan kelahiran Toronto, Kanada itu pada awalnya bermula dalam situasi yang agak tegang.

Kongsi Aishah, keserasian mula tercetus selepas mereka kerap berbincang dan mengutarakan pendapat masing-masing sebelum memulakan penggambaran.

“Pada hari pertama di lokasi, saya dan Jason berebut untuk bercakap. Kadang-kadang, kami begitu kompetitif sehingga nampak ketara di hadapan kamera.

“Namun, selepas mula mengenali dan kerap berbincang, kami berjaya mengatasi masalah tersebut dan dapat mengemudikan Inspiring Homes dengan lancar,” katanya.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, Jason, 39, yang sebelum ini pernah beberapa kali mengacarakan program berbentuk travelog turut mengutamakan sesi latihan sebelum memulakan sesi rakaman.

“Hanya lima minit masa yang diperuntukkan bagi setiap rumah untuk setiap episod. Jadi, kami perlu fokus dan banyak berbincang mengenai elemen-elemen menarik yang ingin diketengahkan.

“Walaupun lagak kami berdua boleh diibaratkan seperti Mel Gibson dan Danny Glover dalam filem Lethan Weapon, namun proses rakaman berjaya dihabiskan tanpa sebarang masalah,” katanya yang begitu mengagumi profesionalisme Aishah dalam membahagikan tugas antara radio dan rancangan televisyen.

Rumah

Menyentuh mengenai program terbitan Life Inspired tersebut, Jason berkata, Inspiring Homes menampilkan beberapa kediaman menarik di sekitar ibu kota yang mempunyai ciri-ciri unik dalam soal hiasan dalaman dan binaan luaran.

“Menerusi Inspiring Homes, penonton akan dibawa melawat ke rumah-rumah menarik di Kuala Lumpur.

“Lebih istimewa, penonton juga dapat mendengar sendiri kisah inspirasi daripada tuan rumah dan elemen-elemen sentimental yang ada pada kediaman mereka,” ujarnya.

Tambah pengacara yang kini bermastautin di Hong Kong itu, sepanjang proses penggambaran, terdapat sebuah rumah yang begitu menarik perhatiannya.

“Ketika melawat Rumah Teemor, milik pasangan suami isteri yang menjalankan bisnes perancangan perkahwinan, saya begitu kagum dengan rekaan tingkapnya. Tidak seperti tingkap biasa, ia dibina daripada bahagian tingkap sebenar milik kediaman neneknya yang terletak di Johor.

“Sejujurnya, saya berasa sangat teruja melihat kepelbagaian rekaan yang ditonjolkan oleh tuan rumah. Setiap satu daripadanya mempunyai kisah menarik yang diabadikan secara artistik menjadi sebuah binaan sanktuari,” katanya yang turut tertarik melihat hiasan dalaman yang dimiliki oleh pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman.

Ketika ditanya apakah perbezaan ketara yang dilihat antara rumah di Hong Kong dan Kuala Lumpur, Jason tertawa kecil.

“Banyak beza antara rumah di Hong Kong dan Kuala Lumpur. Ketika melawat sebuah rumah di sini, saya diberitahu oleh produser bahawa ia merupakan kediaman terkecil untuk program Inspiring Homes.

“Namun, sebaik sahaja saya sampai ke sana, ia merupakan sebuah apartmen bersaiz 900 kaki persegi yang lengkap dengan ruang balkoni.

“Jika 900 kaki persegi dianggap kecil, bagaimana pula agaknya respons mereka apabila melihat apartmen saya yang hanya berkeluasan sekitar 400 kaki persegi sahaja,” katanya dalam nada berseloroh.

Cermin

Bagi Aishah pula, skeptikal terhadap rumah dan hiasan dalaman berubah sebanyak 360 darjah selepas berpeluang mengacarakan Inspiring Homes.

Katanya, jika sebelum ini rumah dianggap sebagai sebuah lokasi untuk berteduh semata-mata, kini bekas pengacara program 8TV Quickie itu melihat sesebuah kediaman sebagai cerminan kepada tuan empunya diri.

“Walaupun berminat dengan hiasan dalaman, saya tidak pernah meletakkan usaha yang besar untuk menjadikan tempat tinggal sebagai satu ruang yang benar-benar mencerminkan diri saya.

“Namun, selepas melihat dekorasi dan gaya yang ada pada setiap kediaman sepanjang mengacarakan Inspiring Homes, tanggapan saya terus berubah.

“Ramai sebenarnya pemilik rumah yang begitu kreatif dan berjaya meletakkan diri sendiri sebagai signatur dan gaya hiasan untuk kediaman mereka. Bagi saya, ia merupakan satu usaha yang bagus,” katanya.

Seperti fesyen, Aishah turut percaya bahawa gaya dekorasi rumah juga perlulah selesa dan tidak terikut-ikut dengan gaya pilihan orang lain.

“Dekorasi untuk kediaman boleh dianggap seperti berfesyen. Asalkan cantik dan selesa, ia sudah memadai,” katanya yang mengakui terinspirasi dengan gaya mewah minimalis.

-Kosmo Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");