Berita Hari Ini

KPKT perkenal konsep Syariah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan konsep Syariah dalam perjanjian jual beli rumah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kaedah itu diperkenalkan untuk memberi pilihan kepada pembeli rumah, selain menggunakan kaedah konvensional sedia ada.

“Kita lihat terdapat segelintir pembeli rumah membuat pinjaman perumahan kepada bank, menggunakan perjanjian mengikut konsep Syariah, tetapi masih menggunakan kaedah konvensional dalam perjanjian dengan pemaju.

“Jadi, KPKT kini sedang mengkaji untuk perkenalkan kaedah Syariah dan akan diletakkan di dalam Akta Perumahan dan terbuka untuk semua pembeli rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival KPKT 2016 di Dataran Merdeka, semalam.

Karnival KPKT 2016 menggabungkan empat sambutan rasmi tahunan KPKT iaitu sambutan Hari Habitat Sedunia, Hari Perancangan Bandar Sedunia, Hari Kitar Semula dan Hari Tandas Peringkat Kebangsaan.

Pada masa sama, beliau turut melancarkan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN-3) dan Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2).

“Kedua-dua perkara ini adalah dokumen penting kepada KPKT, khususnya dalam membantu mencapai moto kementerian iaitu Kehidupan Sejahtera. RFN Ke-3 memberi penekanan kepada pembangunan negara yang berdaya tahan, manakala DPN 2 dibentuk dengan visi Bandar yang Mampan untuk Kesejahteraan Rakyat.

“Saya berharap perancangan strategik menyeluruh dapat dikongsi bersama bagi mewujudkan pembangunan fizikal dan perbandaran negara yang lebih terancang, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai karnival yang bertemakan Bandar Mampan, Komuniti Sejahtera, beliau berkata, penganjuran karnival secara kolaborasi strategik, selaras konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Penganjuran karnival yang menggabungkan empat program ini bertujuan mempamerkan peranan, fungsi dan aktiviti KPKT yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat.

“Pelbagai aktiviti dan program dijalankan sepanjang karnival termasuklah memberi penerangan dan penjelasan mengenai inisiatif, komitmen serta program yang memberi manfaat kepada pengunjung,” ujarnya lagi.

Pada majlis perasmian berkenaan, Noh turut menyampaikan anugerah dan penghargaan sempena empat sambutan yang diraikan.

Antaranya Anugerah Bandar Mampan (Murninets) 2015, Pelaksana Kejiranan Hijau 2016, Bandar Bersih, Industrial Zero Waste Best Practice 2016 dan Tandas Sedunia.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");