Berita Hari Ini

KSSR Semakan dilaksana mulai Januari

Putrajaya: Mulai Januari 2017, murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu akan melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Pelaksanaan transformasi kurikulum ini sejajar dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi menyediakan murid dan pelajar yang mampu menghadapi cabaran abad ke-21 selain membolehkan mereka menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Ketua Sektor Dasar dan Penyelidikan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Naza Idris Saadon berkata, transformasi ini juga bagi mencapai enam aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti disyorkan dalam PPPM.

Katanya, transformasi dibuat ke atas kandungan, pedagogi (cara penyampaian kandungan) dan pentaksiran.

“Dari segi kandungan, ia disusun semula dan ditambah baik untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

“Sementara pedagogi pula menekankan kepada pembelajaran secara mendalam melalui pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Penumpuan diberikan kepada pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran berasaskan projek pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah dan pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi membolehkan murid mendapat pengalaman bermakna dan memperoleh kefahaman yang tinggi,” katanya.

Naza Idris berkata, pentaksiran dalam bentuk formatif dan sumatif dilaksanakan bagi memastikan perkembangan dan pencapaian pembelajaran murid secara berterusan.

“Kita juga menjenamakan semula beberapa mata pelajaran yang sedia ada di Tahap 1 seperti Dunia Sains Teknologi kepada mata pelajaran Sains. Dua mata pelajaran iaitu Pendidikan Jasmani dan mata pelajaran Pendidikan Kesihatan digabungkan menjadi satu mata pelajaran iaitu Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan,” katanya.

Katanya, guru akan mentaksir sejauh mana murid menguasai standard pembelajaran dengan merujuk kepada standard prestasi ditetapkan.

Menurutnya, perkembangan serta pencapaian sebenar tahap penguasaan murid direkod dan dilaporkan secara deskriptif kepada murid dan ibu bapa.

Beliau berkata, reka bentuk kurikulum yang disemak semula ini masih berasaskan kesepaduan melalui enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika; kemanusiaan; ketrampilan diri; sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai.

“Peruntukan masa pelaksanaan PdP pula ditetapkan mengikut jam setahun berbanding minit seminggu yang dilaksanakan sebelum ini, malah mereka akan menggunakan buku teks berbeza selaras dengan perubahan ini.

“Kita masih lagi mengekalkan mata pelajaran sedia ada, tetapi ada juga kita memperkenalkan subjek baharu, bermakna strukturnya masih sama. Ada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sebagai subjek teras, pada masa sama ada subjek tambahan,”katanya.

Beliau turut menjelas, KSSR (semakan) hanya dilaksanakan kepada murid Tahun Satu pada 2017, manakala murid Tahun Dua hingga Enam masih menggunakan KSSR format lama.

Katanya, begitu juga dengan KSSM, ia hanya dilaksanakan terhadap pelajar Tingkatan 1, manakala Tingkatan Dua hingga Lima masih kekal dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Naza Idris berkata, KSSM pula masih mengekalkan semua prinsip KBSM seperti kesinambungan pendidikan sekolah rendah dengan pendidikan menengah; pendidikan umum untuk semua pelajar; penggunaan disiplin ilmu yang ada; kesepaduan antara unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani; penekanan nilai murni; meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dan pendidikan sepanjang hayat.

Menurutnya, kerangka KSSM dibentuk bagi melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI), berfikiran kreatif, kritis dan inovatif.

Katanya KSSM memastikan pelajar mencapai standard pembelajaran yang ditetapkan dalam kurikulum di peringkat menengah rendah dengan memberi penekanan kepada pendidikan umum, peningkatan kemahiran yang diperoleh ketika sekolah rendah; perkembangan bakat dan minat; asas pravokasional, perkembangan sahsiah, sikap dan nilai.

“Pada peringkat menengah atas, penekanan diberikan kepada perkembangan bakat dan minat, perkembangan sahsiah, sikap dan nilai, pengkhususan, kerjaya dan pendidikan tinggi,”katanya.

Naza Idris berkata, guru juga sudah bersedia untuk melaksanakan kedua-dua kurikulum baharu itu kerana mereka sudah dilatih supaya dapat menerima perubahan yang dilaksanakan kementerian.

Malah, katanya, kursus pelaksanaan kurikulum juga sudah dilakukan sebagai persediaan kepada mereka, sekali gus dapat menjiwai hasrat KSSR (Semakan) dan KSSM untuk melahirkan murid serta pelajar cemerlang dari segi akademik dan semua aspek.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");