Berita Hari Ini

Kursus Asas Imigresen Dilanjutkan Enam Bulan

PORT DICKSON: Tempoh Kursus Asas Imigresen akan dilanjutkan daripada 42 hari kepada enam bulan mulai tahun hadapan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata tempoh yang ada ketika ini dilihat tidak memadai untuk membentuk dan menjana kesempurnaan dan kesiapsiagaan para pegawai imigresen.

“Para kadet akan berkursus selama tiga bulan dalam pelbagai aspek disiplin ilmu, khususnya berkaitan perundangan, keimigresenan, fungsi teras, pengurusan dan disiplin.

“Setelah tiga bulan berkursus, para kadet akan ditempatkan selama dua bulan di bidang kerja lapangan yang sebenarnya dan setelah menjalani proses berkhidmat secara amali dan praktikal, mereka akan kembali ke Akademi Imigresen di sini selama satu bulan untuk proses penilaian semula dan pengukuhan serta persiapan untuk menamatkan kursus,” katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 3 Tahun 2016 di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM), di sini.

Seramai 218 peserta menamatkan kursus asas itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Imigresen masih menyiasat kes-kes majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.

“Penyiasatan kes rumit seperti ini melibatkan bantuan undang-undang bersama seperti memerlukan Jabatan Peguam Negara. Kita masih dalam proses penyiasatan.

“Apabila timbalan pendakwa raya atau penasihat undang-undang memaklumkan terdapat kes yang boleh didakwa untuk disita dan sebagainya, kita akan bertindak selepas ini,” katanya.

Pada 30 September lepas, Mustafar dilapor sebagai berkata jabatan itu akan memastikan tindakan membekukan aset majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin bermula Oktober lepas, dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Undang undang itu adalah selaras dengan peruntukan Akta Imigresen 1959/63 mengikut seksyen 56 (1), yang sudah lama wujud tetapi tidak dilaksanakan sebelum ini.

Beliau memberi jaminan pegawai-pegawai jabatan itu akan dipersiapkan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan siasatan membabitkan tindakan mengikut akta-akta sedia ada. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");