Jenayah

Langgar kereta diparkir di tepi jalan

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas rebah ketika menunggang motosikal dipercayai terkena serangan jantung lalu meninggal dunia dalam kejadian di hadapan CIMB Taman Ria, Sungai Petani, pagi tadi.

Mangsa, Chin Pak Choon, 76, dari Taman Ria Indah dikatakan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 10 tahun lalu dan dia juga pernah secara tiba-tiba jatuh pengsan sebelum ini.

Anak mangsa dikenali sebagai Ah Chin berkata, menjadi rutin setiap pagi ayahnya keluar menunggang motosikal membeli sarapan dan pulang semula kira-kira jam 9 pagi.

“Bagaimanapun, pagi tadi dia tak balik sampailah pukul 11 pagi. Dalam masa sama, saya menerima panggilan daripada kakak yang mendapat tahu dia terlibat kemalangan.

“Saya bergegas ke kedai yang selalu dikunjungi olehnya namun tak jumpa, sebab tu saya terus ke hospital dan mendapat tahu dia telahpun meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian yang berlaku pada jam 9.50 pagi di hadapan CIMB Bank Taman Ria Sungai Petani itu membabitkan mangsa yang menunggang motosikal bersendirian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah Taman Ria menghala ke CIMB Bank telah melanggar sebuah kereta lain yang pada waktu tersebut berada di tepi jalan, berhenti dipercayai untuk melakukan urusan bank.

“Akibat dari perlanggaran tersebut, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Difahamkan, mangsa mempunyai rekod perubatan berdepan masalah jantung yang serius dan besar kemungkinan warga emas berkenaan mendapat serangan jantung sebelum memberhentikan motosikalnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");