Sukan Hari Ini

Laung amaran Ampang Jaya BC

JURULATIH Kelab Badminton Ampang Jaya (Ampang Jaya BC), Ho Khek Mong mahu anak buahnya terus mempamerkan rentak permainan terbaik dan tangkas ketika bertemu Muar BC pada perlawanan kedua SS Purple League (SSPL) 2016/17, hari ini.

Khek Mong berkata, kemenangan penting buat mereka bagi mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu liga.

“Dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua pemain, saya yakin kita mampu meraih kemenangan itu,” katanya.

Bagaimanapun menurut Khek Mong, pasukannya perlu menunjukkan persefahaman dan keserasian yang baik sepanjang perlawanan.

Katanya, walaupun berjaya mencatat kemenangan pertama sebelum ini namun beliau sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka dengan kemenangan dan tidak memandang mudah setiap pasukan lawan.

“Kita perlu fokus untuk perlawanan selepas ini kerana liga baru bermula,” ujarnya,

Pada perlawanan pembuka tirai SSPL minggu lalu, Ampang Jaya BC membelasah Klang City BC 5-0 (15-2).

Perseorangan lelaki Ampang Jaya BC, Suppanyu Avihingsanon, menumpaskan Klang City BC diwakili pemain remaja kebangsaan, Leong Jun Hao, 11-6, 11-5, 11-6 (3-0).

Selepas itu, giliran import dari Thailand, Nitchaon Jindapol, pula memungut kemenangan kedua untuk Ampang Jaya BC selepas menewaskan Kisona Selvaduray, 11-6, 11-3, 11-9 (3-0) dalam acara perseorangan wanita.

Bersambung dalam pertarungan beregu lelaki, gandingan Muhammad Syawal/Terry Hee Yong Kai menewaskan Ong Jian Guo/Tai An Khang, 11-10, 10-11, 11-7, 11-8 (3-1) sekali gus menjarakkan lagi mata kemenangan.

Dalam kategori beregu campuran, Ampang Jaya BC terus mendominasi perlawanan.

Gandingan Anna Cheong/Lukhi Nugroho mengukir kemenangan, 11-8, 4-11, 11-9, 11-10 (3-1) ke atas pasangan Cheah Yee See/Low Hang Yee.

Dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, Lee Cheuk Yiu tidak berdepan masalah untuk mengutip kemenangan pasukannya apabila mudah menewaskan Chin Wai Kin, 11-6, 11-5, 11-8 (3-0).

Kedudukan tiga terbaik

Khek Mong juga meletakkan sasaran bagi memastikan kelab tersebut menamatkan saingan tersebut dalam kelompok tiga pasukan teratas.

“Melihat kepada kekuatan kelab lain, buat masa ini kami hanya sasar untuk berada di kedudukan tiga terbaik.

“Apa pun, kami sudah bersedia untuk berdepan musim baharu yang lebih mencabar ini,” katanya,

Saingan peringkat liga SSPL sedang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras pada 2 hingga 8 Januari.

Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.

Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");