Membawang Hari Ini

Legenda anak derhaka

Zaman kian berubah namun legenda si Tanggang masih hidup subur dalam kalangan masyarakat Melayu.

Kisahnya sering diperdengarkan terutama sebagai pengajaran bagi mengingatkan si anak terhadap jasa ibu yang mengasuhnya sehingga berjaya.

Karya klasik ini menjadi pilihan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTra) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk dipentaskan kepada penonton.

Ia berlangsung di Panggung Eksperimen, ASWARA pada hari ini dan esok (10 Disember), jam 8.30 malam.

Persembahan dalam genre bangsawan ini menerima bimbingan Seniman Negara, Rahman B dan diarahkan pensyarah fakulti teater ASWARA, Shariful Akma Abdullah.

Shariful Akma berkata, persembahan ini diadakan bagi memberikan pengetahuan luas kepada khalayak dari aspek lakonan, pengarahan sinografi dan pengurusan mengenai persembahan teater bangsawan.

“Mementaskan bangsawan bukan mudah kerana pelbagai aspek perlu diambil berat terutama persiapan.

“Sebagai pensyarah teater, saya mahu pementasan ini mendorong pelajar mempraktikkan ilmu teori dan praktikal seiring dengan pengajaran dan pembelajaran di sini.

“Pada masa sama, kami mahu menarik minat penonton terutama dalam kalangan remaja, pelajar dan ibu bapa untuk mendalami apa itu bangsawan,” katanya.

Shariful Akma tidak menafikan genre bangsawan seringkali menampilkan unsur murni dan aspek ini tetap dititikberatkan dalam Si Tanggang.

“Kami melihat perlunya memberikan pendedahan kepada khalayak untuk mempelajari nilai murni melalui pementasan teater.

“Teater ini juga mempunyai pelbagai unsur hiburan selaras cita rasa penonton. Selain elemen lakonan, unsur hiburan seperti nyanyian, tarian, puisi, persilatan dan akrobatik turut ditampilkan.

“Selain itu, teater bangsawan ini turut dihiasi visual dan artistik set, props dan kostum yang pelbagai bentuk serta warna.

“Kami mahu membuka dan mengasah minda khalayak untuk berfikir lebih kreatif mengenai apa yang ditonjolkan di sebalik pementasan ini,” katanya.

Shariful Akma berharap teater ini ditonton semua golongan masyarakat terutama pelajar seni persembahan serta penggiat teater sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Si Tanggang mengisahkan seorang anak dan ibu tua yang hidup dalam kemiskinan. Dalam diam Tanggang menyimpan perasaan terhadap anak orang kaya yang turut diminati Julutong.

Tanggang selalu diejek masyarakat sekeliling sehingga mahu berhijrah ke tempat lain demi mengubah nasibnya. Dia tidak mahu lagi dipandang hina orang kampung.

Ibunya tidak mengizinkan Tanggang pergi kerana mereka tidak pernah hidup berjauhan selain bimbang lupa daratan sekiranya kaya.

Namun Tanggang berdegil dan berjanji tidak melupakan ibunya meskipun sudah bergelar orang kaya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");