Jenayah

Lelaki mengamuk kerana wang

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki bertindak seperti ‘hilang akal’ apabila memecahkan semua barang di dalam rumah selain mengugut mahu mencederakan seluruh ahli keluarga, hanya disebabkan kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak dilayan, dalam kejadian di sebuah rumah di Manir, di sini, Sabtu lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira jam 3.30 petang, lelaki berusia 20-an itu dikatakan ada meminta sejumlah wang daripada salah seorang adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah, namun permintaan tersebut tidak diendahkan.

“Suspek dipercayai pada mulanya cuba memujuk mangsa agar menyerahkan wang dikehendaki dengan segera tetapi adik lelakinya itu memberi alasan tidak mempunyai wang.

“Keengganan mangsa menyebabkan suspek mula naik angin lalu mengamuk dengan merosakkan dan memecahkan semua peralatan di dalam rumah sebelum bertindak mengambil sebilah pisau dan mengacukan kepada mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, suspek mengugut akan mencederakan semua ahli keluarga yang ada di dalam rumah dengan pisau yang masih ada ditangannya itu sekiranya mangsa masih berkeras tidak mahu memberikan wang.

“Bimbang akan keselamatan diri dan adik-beradik yang lain, mangsa menghubungi ibu bapa mereka yang ‘bersembunyi’ di rumah saudara di Kampung Padang Machang, di sini, bagi memaklumkan kejadian.

“Difahamkan, kedua orang tua mereka beberapa hari sebelum kejadian ‘melarikan diri’ disebabkan tidak tahan melayan kerenah suspek yang sering mengamuk, lebih-lebih lagi jika tidak diberikan wang,” katanya.

Jelas sumber lagi, suspek turut dikatakan ada mengambil sebuah kereta dan sebuah motosikal milik bapa mereka sebelum ini dan masih tidak memulangkan semula sehingga hari ini.

Tidak sanggup melayan kerenah suspek yang sering mengamuk selain bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarga lain, ibu mereka, 58, seorang surirumah mengambil keputusan membuat laporan polis sejurus dimaklumkan oleh mangsa berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kejadian yang dibuat di Balai Polis Manir, di sini.

Jelasnya, kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");