Berita Hari Ini

Lima juta penumpang menjelang 2020

Subang: Terminal SkyPark dijangka menerima lebih lima juta penumpang menjelang 2020 dengan tumpuan diberikan menerusi penerbangan domestik dan beberapa negara lain yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Pengarah Eksekutif Subang SkyPark Sdn Bhd Tan Sri Ravindran Menon berkata, setakat ini terminal berkenaan mencatatkan purata penumpang kira-kira 1.3 juta setiap tahun.

Ravindran berkata, Terminal SkyPark 2 yang dijangka dilancarkan awal tahun depan juga akan menyumbang kepada peningkatan penumpang pada masa akan datang.

“Terminal SkyPark 2 dijangka mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan dengan keluasan kira-kira 85,000 kepada 100,000 kaki persegi.

“Pembinaan terminal berkenaan akan memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan supaya lebih sistematik dan efisien demi keselesaan penumpang,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian empat tahun antara SkyPark dan GrabCar, di sini, semalam.

Menurut Ravindran, perjanjian antara dua hala berkenaan demi memberi kemudahan kepada penumpang terminal berkenaan mendapatkan perkhidmatan pengangkutan GrabCar untuk ke destinasi masing-masing.

“Perjanjian ini adalah untuk menambah baik lagi kemudahan pengangkutan kepada penumpang iaitu bermatlamatkan selamat, boleh dipercayai, mudah dan kos efektif.

“Penumpang boleh menempah perkhidmatan GrabCar sebelum tiba atau meninggalkan balai ketibaan menerusi kios GrabCar,” katanya.

Sementara itu Ketua Negara Grab Malaysia Jaygan Fu berkata, terminal SkyPark adalah lapangan terbang pertama menandatangani kerjasama dengan pihaknya sebagai pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

“Grab memberi kemudahan kepada penumpang menggunakan aplikasi mudah alih untuk menempah pengangkutan awam mereka ke destinasi masing-masing,” katanya ketika ditemui, di sini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");