Pasir Puteh: Pencarian dua mangsa yang dikhuatiri lemas di Pantai Tok Bali sejak tiga hari lalu diperluaskan sehingga ke tujuh batu nautika dari pesisir pantai.
Mangsa, Ahmad Haziem Anizam, 14, dan rakannya, Amir Azfar Rafar, 13, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya, 4.30 petang Sabtu lalu.
Komander operasi mencari dan menyelamat, Penolong Penguasa Bomba Joharudin Hassim berkata, operasi berkenaan disertai 109 orang daripada 11 agensi termasuk pasukan keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk solat hajat selepas Maghrib, malam tadi yang diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Keadaan cuaca hari ini semakin baik dan akan membantu usaha mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Tok Bali bersama dua rakan yang lain kejadian Sabtu lalu.
-Harian Metro