SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 mencipta sejarah tersendiri dengan jumlah pengunjung mencecah empat juta.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, angka itu juga melebihi jumlah dicapai pada MAHA 2014 yang menerima 3.02 juta pengunjung.
“Sasaran awal kita sekitar tiga juta juga untuk kali ini, tetapi sambutan diberikan amat luar biasa sekali. Sehingga jam 11 pagi, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jumlah pengunjung telah mencecah 3.5 juta orang.
“Kemudian bertambah lagi kepada 3.8 juta orang dan saat ini (petang semalam) nampaknya pengunjung masih bertali arus, mudah untuk capai empat juta orang,” katanya pada sidang media penutup MAHA 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Menurutnya, dari segi jumlah jualan, banyak peningkatan dicapai.
“Kita sasarkan jualan kali ini RM200 juta, sedikit lebih tinggi berbanding 2014 yang hanya RM152 juta.
“Tetapi sehingga sekarang, jumlah jualan RM380 juta dalam masa 11 hari. Ini peningkatan tinggi sekali, hampir lebih 100 peratus daripada dicapai dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, sambutan daripada golongan belia juga begitu membanggakan.
“MAHA 2016 dapat menarik lebih ramai belia terlibat, dari sektor-sektor perladangan, ternakan, ayam, akuakultur dan sektor pertanian yang lain.
“Ini petanda baik kerana selari matlamat kerajaan untuk dapatkan penyertaan lebih 40 peratus golongan belia dalam sektor pertanian,” katanya.
Ahmad Shabery berkata, seperti penganjuran sebelum ini, MAHA 2016 tidak pernah gagal menyediakan aktiviti menarik ramai pengunjung.
Jelasnya, kemasukan program baharu seperti Rhythm of The Farmers (ROTF), satu konsep agrotainment baharu untuk menarik minat ke arah pertanian melalui hiburan mendorong ribuan pengunjung ke kawasan pameran itu tahun ini, terutama belia.
“Ia mencipta satu trend baharu, berbeza berbanding MAHA sebelum ini yang sentiasa dianggap acara untuk orang kampung dan berkaitan generasi lebih tua,” katanya.
Aktiviti persembahan dan tarikan baharu seperti Agroyouth Camp, Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin serta Kampung Mok Cun juga menjadi tumpuan sepanjang 11 hari MAHA 2016.
“Kami gembira melihat perubahan pada MAHA 2016. Ramai belia hargai sektor ini.
“Malah, ada kalangan mereka meraih pendapatan melalui bidang pertanian dan ada yang terlibat secara langsung dalam bidang ini,” katanya.
Ahmad Shabery juga memuji Agromakanan, disifatkan sektor agresif, apabila jumlah jualan melepasi sasaran awal.
“Golongan belia terlibat dalam sektor ini dan kita dapat lihat kebanyakan mereka urus pelbagai gerai di sini,” katanya.
Penyertaan belia dilihat melalui Kem Remaja Nafas penuh dengan aktiviti berkaitan pertanian, pendidikan, memanah, paintball, permainan air, kem api, persembahan, aktiviti kecergasan dan ‘Chillax’ bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Bercakap mengenai kemudahan kepada pengunjung, Ahmad Shabery berkata, beliau berpuas hati dengan MAHA kali ini kerana tiada isu besar menjejaskan acara tersebut.
Namun katanya, sejumlah besar pengunjung terpaksa beratur panjang menunggu trem dan perjalanan jauh dilalui mereka, terutama warga emas dan golongan kurang upaya.
“Kita akan cuba diperbaiki pada masa depan. Kami berjaya mengambil tindakan pembetulan untuk selesaikan sebahagian besar rasa tidak puas hati tersebut dan akan mencari jalan memperbaiki keadaan.
“Dengan tema Makanan Kita Masa Depan Kita, MAHA 2016 ditutup dan akan dianjurkan lagi pada 2018,” katanya.
-Sinar Harian