Berita Hari Ini

MAHA 2016 terus jadi tumpuan

SERDANG: Orang ramai diminta tidak melepaskan peluang mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang kini berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS).

MAHA, acara yang diadakan dua tahun sekali sejak 2002 itu mempamerkan semua produk dan bahan pertanian terbaik negara.

Tahun ini, MAHA 2016 bermula pada 1 Disember dan berakhir pada 11 Disember, bertemakan ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ (Our Food Our Future).

Selain usahawan dan peniaga tempatan, MAHA 2016 juga telah menarik minat beberapa syarikat, daripada hampir 20 negara untuk menyertai di bawah kluster Perdagangan Agro Antarabangsa dan Penyertaan Korporat.

Dengan sasaran tiga juta pengunjung, pihak penganjur menjangkakan menerima kunjungan kira-kira 300,000 orang setiap hari.

Konsep barangan terpakai di Laman Florikultur

Ingin melihat kelainan pokok-pokok hiasan dan buah-buahan ditanam menggunakan barangan terpakai, pengunjung seharusnya tidak melepaskan peluang berkunjung ke Laman Florikultur pada MAHA 2016.

Terletak di atas bukit, berhadapan dengan Pavillion Negeri, pengunjung pasti teruja melihat pokok hiasan ditanam dalam bekas yang dikitar semula.

Ia adalah konsep yang diketengahkan pada MAHA 2016, yang turut mendapat pengiktirafan dan dimasukkan dalam The Malaysia Book Of Records.

Pengunjung boleh melihat arca sepanjang 106 meter daripada bahan-bahan terpakai dengan struktur pintu dan tingkap yang dihiasi bunga-bungaan serta tanaman herba.

Olahan barangan terpakai seperti bekas plastik, tayar, mangkuk tandas dan pelbagai lagi ternyata memberikan idea kepada pengunjung untuk menghias laman mereka menggunakan barangan kitar semula.

Malah, di Laman Florikultur, ia dihias cantik dengan landskap yang menarik, termasuk binaan arca berbentuk dinosaur, kumbang lady bird dan kereta lembu yang menambahkan lagi keterujaan pengunjung bergambar.

Karakter animasi Upin & Ipin

Bagi peminat karakter animasi Upin dan Ipin, pastinya tidak melepaskan peluang mengunjungi Pameran Kampung Durian Runtuh di MAHA 2016 yang berlangsung sehingga 11 Disember ini.

Istimewanya, pengunjung dapat merasai pengalaman sebenar berada di dalam siri animasi itu yang sememangnya diminati golongan kanak-kanak.

Tarikan terbaru pada MAHA 2016, kali ini memberikan pengunjung melihat penggunaan teknologi hologram, projection mapping dan mural 3D yang pastinya lebih menarik untuk pengunjung bergambar dengan karakter Upin dan Ipin.

Pameran Kampung Durian Runtuh juga menerapkan nilai pertanian kepada peminat animasi itu melalui projection mapping yang menceritakan proses penanaman pokok dari peringkat awal iaitu daripada biji benih hinggalah proses penuaian.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai cenderamata animasi Upin dan Ipin yang dijual dengan mengunjungi Pameran Kampung Durian Runtuh.

Kunjungan ini pastinya memberikan pengalaman kepada mereka yang meminati karakter animasi tersebut.

Peluang temui pelakon Mak Cun

Daripada drama, seterusnya diangkat ke pentas teater, jenama Mak Cun kini semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Dan buat julung kalinya, MAHA 2016 membawakan kelainan dengan membawakan jenama Mak Cun dengan lebih dekat kepada pengunjung, yang terletak di Perkampungan Mak Cun.

Ia sekali gus, menjadi satu ciri unik di MAHA 2016 untuk pengunjung bertemu dan beramah mesra dengan pelakon Mak Cun, terutama Erma Fatima yang merealisasikan watak Mak Cun dengan jayanya.

Selain bertemu dengan pelakon drama Mak Cun, pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis masakan istimewa Melayu ketika berada di sana.

Malah, pengunjung boleh merasai sendiri masakan Erma Fatima iaitu ikan patin tempoyak dan asam pedas.

Di laman itu juga, pengunjung boleh mendapatkan bedak sejuk Mak Cun.

Konsep agrotainment

Setiap kali penganjuran MAHA, tidak pernah gagal untuk menarik ramai pengunjung setiap tahun ia diadakan lebih lebih lagi dengan penambahan program baru, Rhythm of The Farmers (ROTF), satu konsep agrotainment baru untuk menarik minat ke arah pertanian melalui hiburan.

Program ini dijangka menarik ribuan pengunjung ke kawasan pameran, terutama golongan belia.

Elemen agrotainmen dalam MAHA 2016 melalui ROTF diharap dapat memaparkan suasana menarik dan ceria, dan dalam masa sama menyampaikan mesej penting iaitu ‘Makanan Kita, Masa Hadapan Kita’.

ROTF yang diilhamkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, melibatkan artis seperti Ramli Sarip, Akim & The Majistret, Shila Amzah, Ebiet G Adie, Yazid dan Search, Ali Terra Rossa, Man Bai dan ramai lagi manakala persembahan kebudayaan pelbagai pelosok negara disertai dengan pancaran cahaya sensasi.

Satu cerun di kawasan berbukit di MAEPS, dikenali sebagai D’Lereng, dengan pentas dibina di kaki lereng, telah dipilih lokasi ROTF, yang akan menjadi amfiteater semula jadi untuk penonton duduk dan menikmati persembahan.

Acara ini bermula dari jam 10.30 pagi hingga 12 tengah malam. Masuk adalah percuma.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");