Berita Hari Ini

MAINJ serah sumbangan RM3,224.80

Johor Bahru: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyerahkan sumbangan RM3,224.80 kepada Tabung Rohingya Media Prima hasil kutipan daripada orang ramai selama dua hari sempena penganjuran Karnival Usahawan Asnaf (KUA) 2016, baru-baru ini.

Sumbangan diserahkan pada Majlis Aqiqah Anak Pelatih di Pusat Perlindungan Wanita, semalam, oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin kepada Ketua Biro New Straits Times Johor Ahmad Fairuz Othman.

Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Yosree Ikhsan berkata, tabung itu diedarkan sepanjang karnival berkenaan atas dasar perikemanusiaan terhadap saudara Islam yang ditindas pemerintah zalim di Myanmar.

“Kami mengedarkan tabung ini apabila mendengar perkhabaran mengenai kesengsaraan rakyat Rohingya yang semakin meruncing. MAINJ mula mengedarkan tabung ini di sekitar tapak karnival ketika KUA berlangsung.

“Kami menamakan tabung ini sebagai Tabung Rohingya Media Prima sempena pembabitan dan sokongan akhbar BH, Harian Metro dan NST yang membuat liputan menjayakan karnival berkenaan,” katanya ditemui selepas menghadiri majlis itu di Jalan Camar 4, Taman Perling di sini.

Beliau berkata, selain tabung itu, MAINJ juga memperuntukkan RM600,000 pada tahun ini untuk kegunaan 1,000 pelarian Rohingya yang menetap di negeri ini.

“Kita mengagihkan RM600,000 kepada ketua masyarakat Rohingya di setiap daerah yang didiami masyarakat itu termasuk Johor Bahru, Kulai, Tangkak, Pontian dan Kota Tinggi.

“Antara kegunaan wang itu untuk mengupah guru dalam kalangan masyarakat itu bagi membekalkan pendidikan kepada anak-anak Rohingya terbabit. Wang itu juga akan digunakan untuk membayar sewa bangunan digunakan masyarakat terbabit,” katanya.

Menurutnya, MAINJ turut memberikan peruntukan kepada masyarakat itu untuk meraikan hari kebesaran Islam supaya dapat disambut seperti masyarakat Islam lain.

“Apabila tiba Aidilfitri, masyarakat Rohingya juga akan mendapat sejumlah duit raya disalurkan kepada ketua keluarga masing-masing dan jumlahnya bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");