IPOH: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini merasmikan kedai gunting rambut pertama yang terletak di kawasan Masjid Al-Ansar Meru di sini.
Kedai gunting rambut yang diberi nama ‘A&A Barbershop@Meru’ tersebut telah dikendalikan oleh dua anak muda iaitu Muhamad Amri Roslan dan Alfan Sayuthi Azhar yang merupakan anak kepada asnaf Fakir Miskin.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata, projek berkenaan merupakan satu program di bawah pemerkasaan asnaf yang mana untuk membantu asnaf keluar daripada kemiskinan.
“Jadi kali ini, bapa mereka adalah golongan asnaf, jadi kita bantu anak-anak mereka ini menjalankan kegiatan ekonomi yang bukan setakat mendapat pendapatan tinggi tetapi secara tidak langsung membantu keluarga mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kedai Gunting Rambut Asnaf MAIPk ‘A&A Barbershop@Meru’ dan Penyampaian Bantuan Kelengkapan Persekolahan Serta Sumbangan Kepada NGO Islam.
Hadir sama, Pengerusi Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ustaz Muntaha Kamil Halid.
Ujar Amiruddin lagi, pemilihan kawasan masjid sebagai tapak kedai gunting rambut berkenaan bertujuan untuk memastikan masjid bukanlah sebagai tempat ibadah kepada Allah SWT semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan ekonomi.
“Jadi akan ada lebih ramai anak muda yang datang untuk gunting rambut yang mana ia secara tidak langsung dapat mendekatkan diri mereka dengan masjid
“Insyaallah kita akan kembangkan program ini ke tempat lain di kawasan-kawasan masjid yang strategik di negeri Perak,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, antara kriteria yang membolehkan mereka memohon bantuan tersebut adalah kesanggupan mereka untuk mengikuti latihan dalam bidang gunting rambut selama dua bulan.
“Kursus ini adalah untuk meningkatkan kecekapan gunting rambut… bukan senang sebab kita berikan kursus insentif supaya apabila kedai ini beroperasi, ia mampu memuaskan hati pelanggan.
“Selain itu, yang paling penting sekali adalah keluarga mereka di kalangan asnaf dan fakir miskin yang mana mereka boleh dibantu oleh MAIPk,” katanya lagi.
Beliau juga berharap agar anak-anak muda ini tidak berfikiran untuk kerja makan gaji semata-mata berikutan banyak saluran yang pihak kerajaan sediakan untuk mereka ini mengeluarkan keupayaan diri.
“Jadi datang dan berbincang dengan kita… Insyaallah kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan dibawah program zakat,” ujarnya.

Sementara itu, Amri ketika ditemui berkata, beliau membuat permohonan untuk membuka kedai gunting berkenaan diatas minatnya terhadap bidang tersebut.
Beliau yang sebelum ini pernah mengambil jurusan yang sama ketika menuntut di Giat Mara pada tahun 2012 amat bersyukur kerana diberi peluang untuk memiliki sendiri kedai gunting rambut.
“Alhamdulillah dengan bantuan MAIPk ini secara tidak langsung saya dapat memperolehi pendapatan selain membantu keluarga,” katanya.
Kedai gunting rambut ‘A&A Barbershop@Meru’ dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih boleh menghubungi Amri di talian 013 4083019 dan Alfan 017 4727681.